Man. City lebur rekod tanpa kalah Everton

LONDON – Gandingan Alvaro Negredo dan Sergio Aguero membantu Manchester City meleburkan rekod tanpa kalah Everton di Stadium Etihad dengan kemenangan 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Pemain pinjaman dari Chelsea, Romelu Lukaku terlebih dahulu memberikan gol pendahuluan kepada Everton pada minit ke-16 apabila bijak melepasi perangkap ofsaid dan menghukum kerapuhan pertahanan City selepas mudah menewaskan Joe Hart.

Namun, kegembiraan para penyokong Everton tidak kekal lama kerana seminit kemudian, City memperoleh gol penyamaan menerusi Negredo, situasi yang hampir sama seperti Lukaku berpunca daripada hantaran menarik Yaya Toure.

City yang masih di dalam mood kekecewaan dimalukan 1-3 oleh juara Liga Juara-Juara musim lalu, Bayern Munich, akhirnya bangkit mendapat gol pendahuluan melalui Aguero yang melepaskan percubaan dari sudut sukar, hasil gerakan David Silva sebelum babak pertama berakhir.

Malang bertimpa-timpa buat Everton apabila City diberikan sepakan penalti ekoran Pablo Zabaleta dijatuhkan oleh Seamus Coleman pada minit ke-69 yang menyebabkan penjaga golnya, Tim Howard diberikan kad kuning kerana membantah keputusan pengadil.

Walaupun berjaya menepis sepakan Aguero pada mulanya tetapi bola itu melantun kembali mengenai dirinya selepas terkena tiang bagi memberikan gol ketiga buat tuan rumah.

Kekalahan pertama Everton pada musim ini meletakkan skuad bimbingan Roberto Martinez itu meletakkan mereka kekal dengan 12 mata dan memberikan ruang kepada City untuk memintas kedudukan mereka dalam carta liga dengan kelebihan satu mata. – AGENSI

Highlight