Malaysia perlu menang malam ini

Kelana Jaya: Pertembungan ketiga Kelayakan Piala Asia 2015 menentang pendahulu Kumpulan D, Bahrain di Stadium Shah Alam, malam ini bakal menjadi detik hidup mati terpenting buat skuad Harimau Malaya.

Jika menang, peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir di Australia kembali cerah dengan menyamai jumlah enam mata dikutip Bahrain dan Qatar selepas tamat separuh jalan saingan Kumpulan D itu.

Namun, andai seri atau tewas, peluang skuad kebangsaan tampak semakin tertutup dan pada masa sama pengendalinya, Datuk K Rajagobal sudah boleh ditunjuk jalan keluar meskipun kontraknya hanya akan tamat, 31 Disember ini.

“Sudah tentu apabila bermain di tempat sendiri, kami cuba buat yang terbaik untuk menang. Itulah yang diharapkan pihak pengurusan dan saya beritahu pemain supaya turun dengan persembahan terbaik bagi mencapai sasaran itu.

Sementara itu, SAMA ada mahu merendah diri atau sengaja menyindir, Bahrain mula melakukan ‘provokasi’ awal menjelang pertemuan menentang Harimau Malaya pada saingan Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam, jurulatih Bahrain, Anthony Hudson berkata, pertukaran barisan pemain Harimau Malaya sejak dua tahun kebelakangan ini menyebabkan beliau gagal ‘membaca’ kekuatan sebenar skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu.

Sambil menyifatkan ‘eksperimen’ itu sebagai satu helah, Hudson mengakui, anak-anak buahnya harus lebih berwaspada bagi mengelak terperangkap dengan strategi Rajagobal.

“Agak sukar untuk saya mengetahui siapakah pemain utama mereka (Harimau Malaya) ketika ini.

“Saya tahu mereka ditimpa masalah kecederaan pemain dan kita dapat saksikan pemain yang berbeza mengisi tempat dalam kesebelasan utama mereka.

“Namun, saya telah menyaksikan enam perlawanan membabitkan pasukan Malaysia sebelum ini dan melihat banyak perubahan besar berlaku,” jelas Hudson.

Hudson menambah, beliau sukar untuk meramalkan siapakah barisan kesebelasan utama yang akan membarisi Harimau Malaya malam ini.

“Saya akui tidak dapat melihat kesebelasan utama pasukan Malaysia secara konsisten.

“Saya tidak tahu jika Safiq (Rahim) atau Safee (Sali) bermain esok (malam ini) kerana situasi itu sukar dijangka.

“Bagi saya, siapa juga pemain Malaysia yang akan beraksi nanti, mereka masih sebuah pasukan yang bagus.

“Namun, kami tetap berhasrat untuk mencapai kemenangan di sini,” kata pengendali kelahiran England itu.

Ditanya mengenai peluang Bahrain meraih kemenangan ke atas Harimau Malaya selepas tewas 0-1 kepada Thailand dalam aksi persahabatan Khamis lalu, Hudson tetap optimis dengan kemampuan barisan kendaliannya.

“Jangkaan saya mudah. Kami mahu menang dalam perlawanan ini. Selepas (tewas) ketika menentang Thailand, kami tidak mahu memikirkan apa-apa lagi.

“Apa yang kami tahu ia akan menjadi satu perlawanan sukar. Seperti yang katakan tadi, kami sangat menghormati Malaysia tetapi kami juga tahu kekuatan serta kelemahan mereka,” katanya.