Lapan penyokong Sarawak pengsan

Kuching: Lapan penyokong Sarawak pengsan ketika bersesak-sesak membeli tiket di Stadium Negeri, semalam untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Sarawak dan Pahang, malam esok.

Kira-kira 10,000 penyokong skuad Ngap Sayot mula berbaris seawal jam 5 pagi di stadium berkenaan semata-mata tidak mahu terlepas peluang menyaksikan perlawanan penting untuk skuad mereka itu.

Keadaan pada mulanya terkawal, tetapi bertukar kecoh sebaik kaunter tiket dibuka kira-kira jam 10 pagi apabila segelintir penyokong mula memotong barisan.

Tindak agresif

Situasi bertambah tegang apabila ramai penyokong berang dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengenakan syarat mereka perlu menunjukkan MyKad ketika membeli lima tiket yang dihadkan untuk seorang pembeli.

Difahamkan, sekumpulan penyokong yang berang kemudian bertindak agresif dengan memanjat bumbung kaunter tiket sebagai tanda protes, selain turut berlaku insiden tolak menolak hingga ada beberapa penyokong mengalami sesak nafas dan pengsan.
Seorang penyokong Ngap Sayot, Augustus Nanang, 52, yang datang dari Serian, berkata beliau tiba seawal jam 5.30 pagi, namun terpaksa melupakan saja hasrat membeli tiket selepas melihat beberapa penyokong bertindak agresif sebaik dimaklumkan supaya menunjukkan MayKad.

20,000 tiket dicetak

“Masalah ini berpunca daripada pengurusan jualan tiket yang tidak cekap menyebabkan saya dan ramai penyokong setia Ngap Sayot kecewa kerana tidak dapat membeli tiket itu walaupun sudah datang awal,” katanya.

Hashim Razali, 43, berkata FAS sepatutnya membuka lebih banyak kaunter, selain menyediakan sistem pengawasan dan keselamatan teratur kerana sudah sedia maklum ramai penyokong akan membanjiri stadium ini.

Difahamkan, FAS mencetak sebanyak 20,000 tiket untuk perlawanan itu walaupun Stadium Negeri mempunyai kapasiti 22,000 tempat duduk, dengan 10,000 tiket habis dijual dalam tempoh tidak sampai dua jam semalam, manakala selebihnya dijual hari ini bermula jam 10 pagi hingga 5 petang. – BH