Kim Swee mahu kekal bersama FAM

JURULATIH Harimau Muda A, Ong Kim Swee masih berhasrat meneruskan tugas bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali pun kontraknya akan tamat pada 31 Disember depan.

“Sekiranya khidmat saya masih diperlukan dalam usaha membantu bola sepak negara, sudah tentu saya berharap dapat kekal bersama FAM.

“Sebenarnya, saya telah mendapat tawaran (luar) sebelum ini dan sudah boleh membuat keputusan tetapi saya tidak mahu lagi memikirkan perkara itu.

“Ini kerana saya mahu memberikan perhatian kepada skuad kendalian saya bagi menghadapi Sukan SEA di Myanmar Disember nanti,” kata Kim Swee ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.

Ketika ini, nama Kim Swee disebut-sebut antara lebih 40 jurulatih tempatan dan antarabangsa yang bakal menggantikan tempat pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal.

Sama seperti Kim Swee, kontrak Rajagobal juga bakal berakhir penghujung tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee mengakui Thailand bakal menjadi pencabar utama skuad Harimau Muda dalam misi memburu pingat emas ketiga pada temasya Sukan SEA di Myanmar.

Ini kerana jurulatih yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia itu mengakui tidak menerima banyak maklumat mengenai skuad Gajah Perang itu.

“Saya bimbang dengan Thailand. Sebenarnya, kita tidak banyak menerima maklumat tentang kekuatan mereka.

“Apa yang saya tahu, mereka berjaya menewaskan skuad China 5-1 baru-baru ini tetapi kami juga tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan lain,” katanya.

Kim Swee berjaya membimbing Harimau Muda memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Jakarta dua tahun lalu selepas menumpaskan Indonesia pada aksi final.

Dua tahun sebelum itu, skuad kendalian Rajagobal meraih ibu emas pada temasya Sukan SEA di Vientianne, Laos. – Kosmo