Khairy Mahu FAM Pantau Pembelian Tiket Secara Pukal

PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) — Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta memantau pembelian tiket secara pukal bagi perlawanan akhir Piala Malaysia bagi membendung kegiatan ulat tiket yang cuba mengaut keuntungan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata FAM perlu mengawal ketat pembelian tiket secara pukal kerana tidak mahu pihak yang membeli secara pukal kemudian menjualnya kepada ulat-ulat tiket.

“FAM kena beri penjelasan sama ada tiket habis kerana permintaan tinggi oleh penyokong atau disebabkan oleh perkara lain.

“Adakalanya, tiket yang dikhaskan untuk jualan secara pukal akan memberi kesan kepada jualan di kaunter tiket di stadium,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Asean Mengenai Sukan Untuk Semua 2013 (ACOS 2013) di sini Rabu.

Beliau mengulas mengenai tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara juara bertahan Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam, Ahad ini, habis dijual dalam tempoh 15 minit sejurus kaunter di stadium berkenaan dibuka pada pukul 9 pagi.

FAM memperuntukkan 15,000 tiket untuk dijual di venue pertandingan manakala masing-masing 30,500 tiket diperuntukan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Berikut permintaan tiket yang tinggi daripada penyokong Kelantan dan Pahang, Khairy berkata FAM perlu mengadakan kawalan ketat di luar stadium sebelum perlawanan bagi memantau kehadiran ulat tiket.

“Jika di United Kingdom, penjual dan pembeli tiket haram ini boleh dipenjarakan,” katanya.

Sementara itu sebanyak 30,500 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia untuk penyokong Pahang habis dijual dalam tempoh tiga jam selepas enam kaunter dibuka di Stadium Darul Makmur di sini mulai 10 pagi.

Setiausaha Persatuan Bola sepak Negeri Pahang (PBNP), Fuzzeimi Ibrahim berkata peruntukan 30,500 keping tiket termasuk 500 tiket untuk kanak-kanak dan 12,000 tiket yang diagihkan kepada 11 persatuan daerah.

Proses penjualan tiket berharga RM40 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak berjalan lancar tanpa sebarang insiden kekecohan, katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata penyokong tempatan yang tidak berpeluang ke Stadium Shah Alam boleh menyaksikan final antara Pahang dan Kelantan melalui skrin gergasi di Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang di Jalan Stadium here, Ahad ini.

Menerusi tinjauan Bernama, ribuan penyokong skuad Tok Gajah mula membanjiri Stadium Darul Makmur seawal 6 pagi tadi kerana tidak mahu terlepas peluang menyaksikan aksi final itu.

Walaupun ada peminat yang gagal mendapatkan tiket tetapi tiada kekecohan berlaku seperti penjualan tiket separuh akhir Pahang-Sarawak pada 19 Okt lepas.  — BERNAMA