Ketua hakim Indonesia ditahan terima rasuah dan miliki dadah,

Jakarta: Ketua hakim Indonesia yang ditahan minggu ini kerana didakwa menerima suapan AS$300,000 (RM953,940) mungkin berdepan tuduhan memiliki dadah selepas bahan larangan itu ditemui di pejabatnya.

Pihak berkuasa berkata, penahanan Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan Akil Mochtar Rabu lalu dibuat ekoran tangkapan pegawai tinggi bekalan tenaga negara itu Ogos lalu dan beberapa siri kes rasuah berkait dengan Parti Demokratik pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

“Ketika memeriksa pejabat ketua hakim berkenaan, pihak berkuasa menemui dadah,” kata jurucakap Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK), Johan Budi dalam sidang akhbar semalam. Satu sumber yang tidak mahu dikenali di KPK berkata, pegawai agensi berkenaan menemui ganja tetapi jumlahnya tidak dapat dipastikan.

Akhbar Jakarta Globe semalam melaporkan yang hakim terbabit menampar muka seorang wartawan tempatan selepas dia ditanya sama ada sudah bersedia jika jarinya dipotong kerana menerima rasuah.

Soalan wartawan itu berhubung dengan kenyataan Akil sebelum ini yang menyatakan mereka yang dituduh terbabit dalam kes rasuah patut dipotong jarinya.

Akil disyaki menerima rasuah dalam dua kes pilihan raya kecil di Kalimantan dan Pulau Jawa, kata Johan.

KPK memberikan kuasa luar biasa bagi menyiasat golongan kaya dan berpengaruh di Indonesia yang menduduki tangga ke-118 dalam senarai negara yang paling banyak mengamalkan rasuah di dunia daripada 176 negara yang disediakan Transparency International. – AFP