Kelantan Dan Pahang Pilihan Ke Final Piala Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) — Dua pasukan Pantai Timur — Kelantan dan Pahang dilihat berpeluang cerah menempah slot beraksi pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada 3 Nov ini.

Rata-rata bekas pemain dan jurulatih kebangsaan berpendapat kedua-dua pasukan itu mampu melangkah ke pentas akhir berdasarkan kelebihan agregat yang dimiliki dalam saingan separuh akhir pertama minggu lepas.

Kelantan, selaku juara bertahan, mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 Jumaat lepas manakala Pahang mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas juara Liga Perdana, Sarawak, sehari kemudian.

ATM akan berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu esok untuk aksi timbal balik menentang Kelantan manakala Pahang akan berdepan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini.

Bekas pemain kebangsaan era-80 an, Azlan Johar berkata Kelantan yang dibimbing jurulatih Croatia, Bojan Hodak memiliki peluang terbaik mara ke final berdasarkan kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Kehadiran penyokong setia Kelantan sudah pasti akan menaikkan moral pemain untuk memastikan tiket ke final menjadi milik mereka.

“Walaupun ATM pernah menewaskan Kelantan (3-1) dalam saingan Liga Super di Kota Baharu sebelum ini, ia tidak boleh dijadikan ukuran kerana suasana antara saingan liga dan Piala Malaysia sangat berbeza,” katanya yang kini penolong pengurus pasukan T-Team.

Azlan turut yakin strategi taktikal yang diatur jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh ketika berdepan Sarawak di Kuching mampu membawa pasukan Pantai Timur itu ke pentas final.

“Namun Pahang perlu ingat, mereka perlu mengekalkan corak permainan seperti yang dipamerkan dalam aksi separuh akhir pertama di Kuantan sambil menghalang Sarawak daripada mendapatkan gol awal.

“Jika mereka berjaya mengekang Sarawak daripada menjaringkan gol awal, saya yakin Pahang akan layak ke final,” katanya.

Berkongsi pandangan sama ialah bekas pengendali pasukan Terengganu, E. Elavarasan yang melihat Kelantan dan Pahang memiliki kelebihan untuk membuat perhitungan di final.

“Kelantan kini berada pada prestasi terbaik dalam saingan Piala Malaysia manakala Pahang memiliki kelebihan dua jaringan…saya melihat kedua-dua pasukan ini lebih berpeluang ke final.

“Walaupun Stadium Negeri sentiasa dibanjiri penyokong setia Sarawak namun ia tidak menjamin tempat mereka ke final kerana segala-galanya terletak kepada pemain itu sendiri,” katanya yang pernah mengendali kelab Felda United FC.

Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan pula berkata Sarawak masih memiliki peluang ke final, namun perlu mencari gol awal bagi melemahkan smangat pasukan pelawat.

Beliau bagaimanapun tetap memilih Kelantan untuk melangkah ke final berdasarkan rekod cemerlang dalam saingan Piala Malaysia selain dibantu dengan kehadiran penyokong setia mereka.

“Bermain di Kota Baharu bukan satu tugas mudah untuk mana-mana pasukan dalam Liga Super namun saya yakin (jurulatih ATM) B. Sathianathan sudah merencanakan strategi terbaik untuk menewaskan Kelantan.

“Saya juga melihat Sarawak masih berpeluang ke final, namun mereka perlu mencari gol awal pada separuh masa pertama dan mengekang jentera hadapan Pahang daripada bergerak bebas dan menjaringkan gol,” kata Wan Jamak. — BERNAMA