Jerman, Belgium dan Switzerland tempah tiket ke Brazil

LONDON – Juara tiga kali, Jerman mengetuai kemaraan awal tiga negara Eropah ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 bersama Belgium dan Switzerland, pada ketika England, Rusia serta Bosnia-Herzegovina hanya selangkah lagi untuk turut melangkah ke Brazil.

Dalam kelayakan zon Amerika Selatan pula, Colombia mempamer kebangkitan hebat apabila mengikat Chile 3-3 selepas ketinggalan 0-3, sekali gus mengikuti jejak tuan rumah, Brazil dan Argentina untuk beraksi tahun depan.

Jerman mengesahkan tiket selepas menang selesa 3-0 ke atas Republik Ireland di Cologne untuk menjuarai Kumpulan C menerusi 25 mata.

Belgium pula bakal beraksi pada Piala Dunia pertamanya sejak 2002 apabila menumpaskan Croatia 2-1 di Zagreb untuk muncul juara Kumpulan A.

Sementara Switzerland merasai nikmat beraksi di pentas kejohanan bola sepak paling berprestij itu buat kali ketiga dalam sejarah mereka apabila menundukkan Albania 2-1 di Tirana bagi mengesahkan kedudukan juara Kumpulan E.

Dalam perlawanan di Cologne, jaringan bintang tengah Real Madrid, Sami Khedira, pemain Chelsea, Andre Schuerrle dan idola Arsenal, Mesut Ozil mengesahkan tiket Jerman ke Brazil 2014. Sweden, yang menang 2-1 ke atas Austria menghuni tangga kedua dengan lima mata di belakang.

“Kami sudah menyelesaikan kelayakan dengan baik. Pasukan ini melaksanakan tugas mereka dengan menang lapan daripada sembilan perlawanan,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew.

Penyerang Everton, Romelu Lukaku pula meneruskan aksi cemerlang Liga Perdana Inggeris ke kancah kelayakan Piala Dunia, apabila dua jaringannya membawa Belgium melangkah ke Piala Dunia buat kali pertama selepas 11 tahun.

Lukaku, yang dipinjamkan dari Chelsea merobek gawang lawan pada minit ke-16 dan 38.

“Belgium boleh berbangga dengan pasukan ini. Kami akan pergi ke Brazil dan cuba memberi cabaran terbaik,” kata pemain tengah Manchester United, Marouane Fellaini.

Switzerland juga antara pasukan yang bergembira semalam. Dua gol babak kedua menerusi Xherdan Shaqiri dan Michael Lang membolehkan skuad bimbingan Ottmar Hitzfeld itu menempah tiket ke Brazil lebih awal.

Dalam satu lagi perlawanan tumpuan di London, pemain Tottenham, Andros Townsend membuat penampilan sulung bersama England dengan meledak gol cantik yang membantu skuad Three Lions menundukkan Montenegro 4-1 untuk menghampiri tiket automatik ke Piala Dunia 2014.

Terdahulu, bintang penyerang United, Wayne Rooney memecah kebuntuan pada babak kedua apabila menjaringkan gol pembukaan tuan rumah, sebelum England mendahului 2-0 hasil jaringan sendiri Branko Boskovic. Dejan Damjanovic berjaya merapatkan kedudukan 2-1 buat pelawat.

Namun rembatan cantik Townsend pada minit ke-78 kembali meletakkan England pada kedudukan selesa, sebelum bintang penyerang Liverpool, Daniel Sturridge mengesahkan kemenangan 4-1 selepas menyempurnakan penalti di masa kecederaan.

England kini mengetuai Kumpulan H dengan satu mata di depan Ukraine, yang menewaskan Poland 1-0 di Kharkiv. Mereka akan mengesahkan tiket ke Brazil jika menewaskan Poland di Wembley, Rabu depan.

“Andros membuat penampilan sulung yang cukup cemerlang. Apa yang dipamerkannya hari ini adalah sangat hebat,” ujar Rooney.

Rusia, yang dibimbing bekas pengendali England, Fabio Capello menang besar 4-0 di Luxembourg.

Mereka hanya memerlukan seri daripada perlawanan terakhir di Azerbaijan minggu depan untuk mengesahkan tiket Piala Dunia selepas memegang kelebihan tiga mata ke atas Portugal, yang hanya mampu seri 1-1 dengan Israel dalam satu lagi saingan Kumpulan F.

Bosnia-Herzegovina, yang tidak pernah menjejakkan kaki ke pusingan akhir kejohanan utama, membenam Liechtenstein 4-1, berterima kasih kepada dua gol bintang penyerang Manchester City, Edin Dzeko.

Pasukan itu kini menerajui Kumpulan G menerusi perbezaan gol dengan Greece, yang menewaskan Slovakia 1-0.

Dalam Kumpulan D, Belanda berpesta gol di Amsterdam selepas hatrik Robin van Persie membolehkan mereka membelasah Hungary 8-1.

Penyandang juara, Sepanyol pula terikat 14 mata dengan bekas juara, Perancis dalam Kumpulan I selepas menumpaskan Belarus 2-1. Seri ke atas Georgia, Rabu depan sudah cukup untuk membawa mereka ke Brazil.

Pasukan yang telah layak seperti di bawah;

Brazil (hosts)
Japan
Australia
Iran
South Korea
Italy
Holland
Argentina
Costa Rica
USA
Colombia
Belgium
Switzerland
Germany