Itali, England bukan lagi pilihan

BERNE – Juara empat kali, Itali dan negara popular Eropah, England terkeluar daripada kedudukan pilihan apabila undian Piala Dunia 2014 dilakukan Disember ini.

Sebaliknya Switzerland mencipta kejutan apabila melonjak ke ranking ketujuh dunia, semalam.

Sepanyol, Argentina, Jerman, Colombia, Belgium dan tuan rumah, Brazil turut berada dalam senarai tujuh pasukan pilihan, selain Uruguay, jika juara Copa America itu menumpaskan Jordan dalam perlawanan playoff bulan depan.

Seandainya Uruguay gagal melayakkan diri, Belanda, yang kini berkongsi kedudukan kelapan dunia bersama Itali akan mengisi kekosongan tersebut.

Tujuh pasukan terbaik dalam ranking dunia akan mengetuai kumpulan masing-masing pada undian nanti.

Itu bermakna, Itali dan England harus memastikan mereka berjaya menjuarai peringkat kumpulan jika mahu mengelak daripada bertemu salah satu daripada pasukan pilihan di pusingan kedua.

Badan bola sepak dunia, FIFA sebelum ini mengumumkan bahawa Brazil (yang kini menghuni ranking ke-11 dunia) akan berada dalam senarai bersama tujuh lagi pasukan terbaik dunia pada undian yang dilakukan di pusat peranginan Costa da Sauipe, 6 Disember ini.

Portugal, Greece, Croatia dan Ukraine akan berada dalam undian playoff zon Eropah, Isnin ini.

Turut beraksi dalam playoff, juara dunia 1998, Perancis, Iceland, Sweden serta Romania.

Switzerland, yang melengkapkan kelayakan Piala Dunia dengan rekod tanpa kalah melangkah ke pusingan akhir buat kali ketiga berturut-turut.

Mereka melonjak ke tangga ketujuh dunia, berterima kasih kepada kemenangan ke atas Albania dan Slovenia bulan ini.

Itali yang sebelum ini berada di tempat keempat, terpaksa membayar harga yang mahal apabila sekadar seri 2-2 dengan Armenia di tempat sendiri, kelmarin.

FIFA berkata, undian bagi 24 pasukan selebihnya akan ditentukan kemudian.

“Keputusan tersebut akan dibuat berdasarkan kedudukan geografi dan kriteria kesukanan negara yang layak,” kata FIFA dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, kontroversi mungkin tercetus berikutan sistem yang diguna pakai terlalu rumit untuk mengira ranking, terutama Switzerland yang dikatakan mendapat laluan mudah ke Piala Dunia berbanding pasukan lain.

Mereka hanya perlu berdepan Iceland, Slovenia, Albania, Cyprus dan Norway.

Hanya dua pasukan Asia berjaya menempatkan diri dalam kedudukan 50 terbaik iaitu Jepun (ke-44) dan Iran (ke-49).

Ivory Coast yang menghuni tangga ke-17 muncul negara Afrika terbaik. – REUTERS