Irfan Fazail, Fadhli Shas rasmi milik JDT

 KUALA LUMPUR – Dua tonggak Harimau Muda, Mohd. Irfan Fazail dan Muhd. Fadhli Shas sah menyarung jersi gergasi Harimau Selatan, Johor Darul Takzim (Johor DT), musim depan.

Perkara itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) semalam, namun butiran lanjut hanya akan didedahkan pada majlis memperkenalkan pemain di Stadium Larkin, sebentar tadi.

Irfan (tengah) dan Fadhli (pertahanan), kedua-duanya berusia 22 tahun antara enam tonggak Harimau Muda yang dilepaskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) awal bulan ini untuk membolehkan mereka mencari haluan baharu.

Turut dilepaskan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohd. Izham Tarmizi Roslan, A. Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri.

Irfan dan Fadhli diperkenalkan secara rasmi

Kesemua pemain ini diberi masa sehingga akhir bulan ini untuk mencapai keputusan pasukan manakah yang mahu mereka wakili, sebelum kembali memberi tumpuan kepada misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA, Disember ini. – Utusan