Irfan, Fadhli hampir pasti milik JDT

Kuala Lumpur: Kapten Harimau Muda A, Irfan Fazail dan pemain pertahanan, Fadhli Shas hampir pasti meninggalkan skuad B-23 negara untuk menyertai pasukan berbelanja besar, Johor Darul Takzim (JDT) dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2014.

Namun berbeza pula pendirian penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan yang masih mahu berguru setahun lagi dengan jurulatih penjaga gol Harimau Muda A, Yong Wai Hwang sambil pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan penyerang, Ahmad Hazwan Bakri juga dijangka memilih untuk kekal berbanding pulang ke pasukan asal mereka, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Seorang lagi pemain iaitu A Thamil Arasu pula dikatakan masih 50-50 untuk kembali ke negeri asalnya, Selangor atau kekal bersama Harimau Muda A.

“Saya sudah bincang dengan Terengganu dan memang mereka mengalu-alukan kepulangan saya. Tapi saya rasa mahu terus kekal dengan Harimau Muda A tahun depan kerana mahu belajar lebih banyak lagi dan berasakan belum cukup matang untuk beraksi bersama pasukan negeri di Liga-M.

Terpikat rancangan JDT

“Saya bimbang jika tidak mendapat tempat sebagai penjaga gol utama negeri, saya tak dapat teruskan rentak yang saya dapat bersama Harimau Muda A dan juga pendedahan latihan di luar negara,” kata Izham Tarmizi yang khidmatnya turut diintai Sarawak dan FELDA United.

Namun berbeza pula dengan Irfan yang berasakan sudah tiba masanya dia mencari cabaran baru pada usia yang bakal mencecah 23 tahun pada 2014 selepas berada di bawah jagaan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee sejak dari usianya 16 tahun.
“Sejak tingkatan empat saya menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan rasanya sudah tiba masa saya kembali menabur bakti ke negeri asal. Lagi pun jurulatih (Kim Swee) faham dan memberi lampu hijau.

“Saya melihat JDT mempunyai perancangan besar musim depan dengan sasaran layak ke Piala AFC 2015. Jadi saya sendiri mahukan cabaran baru dengan pasukan baru kerana sudah terlalu lama bersama Harimau Muda sekali gus meningkatkan karier saya,” kata Irfan yang beraksi di posisi tengah.

Kelmarin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan hanya enam pemain Harimau Muda A yang kesemuanya berusia 22 tahun itu dibenar mengadakan rundingan dengan pasukan negeri dan kelab untuk diwakili musim depan dan ia perlu diselesaikan hujung bulan ini supaya tidak mengganggu persiapan skuad B-23 negara ke Sukan SEA di Myanmar, Disember ini. – BH