Harimau Muda mungkin sertai Liga-A

Kelana Jaya: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bercadang menghantar Harimau Muda A untuk beraksi di Liga Australia (Liga-A) musim 2014/2015 mulai Oktober tahun depan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, bagaimanapun berkata badan induk bola sepak negara itu perlu mengkaji terlebih dahulu status penyertaan dan kewangan sebelum membuat keputusan.

“Kita ada membincangkan untuk menghantar Harimau Muda A ke Australia, selain ke Slovakia atau Brazil.

Singapura turut dipelawa

“Bagi kita memang bagus untuk pasukan kita bermain di Australia tetapi kita perlu kaji terlebih dahulu dari segi status penyertaan dan kewangan. Jika tidak kita mungkin akan menghadapi kesukaran lain,” kata Hamidin ketika ditemui di Wisma FAM, petang semalam.

Selain Malaysia, Liga-A turut mempelawa Singapura dan Indonesia untuk menghantar satu kelab masing-masing bagi menyertai 10 kelab Australia lain yang sedang beraksi dalam liga berkenaan ketika ini.

“Sehingga kini kami masih belum mendapat penjelasan terperinci daripada pihak Liga-A sama ada penyertaan kelab kita itu bakal menyaksikan kita perlu berkampung terus di Australia sepanjang musim liga atau ada perlawanan boleh dilangsungkan di Malaysia,” katanya.
Malaysia dilantik jadi hos

Sementara itu, Hamidin berkata, Malaysia dilantik sebagai hos untuk memohon kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi menganjurkan Liga Super ASEAN (ASL) yang dijangka dimulakan pada 2015.

Beliau berkata, pasukan yang menyertai liga berkenaan membabitkan satu atau dua kelab dari setiap negara anggota.

“Kita akan menubuhkan satu syarikat untuk menganjurkan ASL dengan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai penasihatnya manakala pengerusi yang dilantik ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Zainudin Nordin,” katanya. – BH