Harimau Malaya bertemu Kuwait 8 November

PETALING JAYA – Harimau Malaya mendapat satu lagi ‘aksi pemanas badan’ berkualiti bagi mengulangi prestasi baik mengikat Bahrain 1-1 dalam kelayakan Piala Asia 2015 kelmarin apabila diundang ke Kuwait untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

Namun begitu, badan bola sepak kebangsaan itu tidak menyatakan apakah status pertemuan menentang Bosnia, pasukan yang baru melayakkan diri ke Piala Dunia 2014 yang sepatutnya menjadi lawan Harimau Malaya pada 10 November ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin berkata, pemergian anak-anak buah Datuk K. Rajagobal ke Kuwait untuk perlawanan 8 November ini dibiayai sepenuhnya oleh persatuan bola sepak negara itu.

“Pasukan kita akan ke sana pada 6 November ini dan perlawanan persahabatan berlangsung dua hari kemudian.

“Selepas itu kita akan terus ke Manama bagi persiapan awal menjelang pertemuan menentang Bahrain (timbal balik Kumpulan D kelayakan) pada 15 November,” katanya selepas sidang akhbar Anugerah Bola Sepak Negara 2013 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Menentang Kuwait yang juga antara gergasi bola sepak Asia Barat seperti Bahrain, bakal menjadi persediaan terbaik Harimau Malaya sebelum menghadapi Qatar di Stadium Shah Alam pada perlawanan kelimanya, 19 November ini.

Hamidin turut berharap, skuad negara akan bekerja keras untuk mencari tiket pusingan akhir dalam baki tiga perlawanan yang menanti, termasuk berdepan Yemen pada 5 Mac tahun depan.

“Saya nampak hampir semua pemain kita menunjukkan keazaman tinggi (untuk memburu gol kelmarin) walaupun ketinggalan 1-0 pada babak pertama kepada Bahrain.

“Saya juga berharap ramai tonggak yang tercedera, kembali pulih untuk memberi lebih banyak pilihan.

“Dengan empat mata diraih, peluang kita masih terbuka kerana kita perlu lihat bukan sahaja dua tempat teratas tetapi juga ketiga terbaik antara semua kumpulan,” katanya lagi.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Hamidin berkata, Anugerah Bola Sepak Negara (ABN) 2013 akan diadakan pada 23 November ini.

“Edisi keenam ABN, yang dianjur bersama FAM, 100PLUS dan Astro Arena ini menawarkan 13 kategori, termasuk kemuncaknya, Pemain Paling Bernilai selain memperkenalkan Penolong Pengadil Terbaik,” jelasnya.

Anugerah lain termasuk Penjaga Gol, Pertahanan, Pemain Tengah, Penyerang, Pemain Import, Jurulatih, Pemain Harapan, Persatuan Bola Sepak, Kelab, Kelab Peminat dan Pengadil. – Utusan