FAM tubuh Jawatankuasa Integriti

PUTRAJAYA – Kesemua anggota gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menubuhkan Jawatankuasa Integriti masing-masing seperti yang disarankan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, kata Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat.

Satu taklimat khas akan diadakan oleh bersama dengan semua pengerusi jawatankuasa itu pada 17 Okt ini bagi menyelaraskan tugasan masing-masing, katanya.

“Kalau kita (FAM) asyik mengarah sahaja, kita bimbang mereka (anggota gabungan) tidak memahami apa yang ingin kita sampaikan.

“Sekiranya wujud hubungan dua hala, maka senang untuk kita menyampaikan taklimat kepada mereka di samping mereka sendiri boleh mencadang idea-idea baharu bagi mengatasi masalah rasuah bola sepak secara bersama,” katanya pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Integriti FAM di Kelab Tasik Putrajaya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Aseh mendedahkan bahawa salah seorang pegawai khasnya telah dihantar ke Perak bagi memantau siasatan kes rasuah yang membabitkan skuad Liga Super negeri berkenaan.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pegawai itu hanya bertindak menjadi pemberi maklumat mengenai kes tersebut kepada badan induk bola sepak kebangsaan itu.

Namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan kes berkenaan memandangkan ia masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM masih dalam proses merakam percakapan beberapa individu berkaitan kes berkenaan.

“Kita berharap siasatan kes berkenaan dapat dijalankan secara telus dan harap SPRM mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” katanya.

Isnin lepas, PAFA memutuskan untuk menggantung kesemua pegawai dan petugas pasukan Liga Super negeri itu selama dua minggu selepas mengesyaki berlaku elemen rasuah dan sabotaj dalam pasukan berkenaan. – Bernama