Diceraikan talak tiga selepas tiga jam akad nikah

BALIK PULAU – Seorang wanita tidak menyangka dirinya akan bergelar janda setelah suaminya melafazkan cerai talak tiga hanya kira-kira tiga jam selepas dia bergelar isteri sesudah mereka bernikah di sebuah masjid di Teluk Kumbar di sini Ahad lalu.

Lebih malang, wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Sasha, 21, turut ditendang oleh bekas suaminya sebanyak dua kali di belakang badan semasa dia meminta penjelasan mengenai perkara tersebut di rumah bekas mertua di Balik Pulau.

“Dia (bekas suami) mula naik angin dan terus melafazkan cerai talak tiga di hadapan ahli keluarga. Ibu bapa saya yang turut berada di situ hanya terkedu.

 “Luluh hati saya sebaik mendengar suami menceraikan saya dengan talak tiga, hanya tiga jam selepas kami bernikah. Saya merayu dan meminta penjelasan mengapa dia menceraikan saya, tetapi hingga hari ini (semalam), dia masih terus mendiamkan diri,” kata Sasha, 21, yang hanya sempat bergelar isteri kira-kira tiga jam sebelum diceraikan suaminya, Ahad lalu.

Sasha bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah bagaimanapun berkata, hasrat untuk berkahwin tetap diteruskan terutama selepas abang iparnya memainkan peranan menguruskan majlis berkenaan.

Menurutnya, dia dan suami yang berusia 19 tahun selamat bernikah jam 2 petang Ahad lalu, di sebuah masjid di Teluk Kumbar selepas mereka mengenali hati budi masing-masing sejak dua tahun lalu.

Katanya, sebelum diijabkabulkan, hubungan mereka sudah mulai dingin, tetapi tetap meneruskan perkahwinan itu selepas keluarga kedua-dua pihak bersetuju.

“Hubungan kami mula dingin sejak dua bulan lalu, malah dia tidak pernah meluahkan hasrat untuk membatalkan perkahwinan ketika kami berbincang mengenai hal itu, tetapi saya hairan mengapa dia tiba-tiba bertindak begitu,” katanya.