Chong Wei tersungkur di Terbuka Denmark

DATUK Lee Chong Wei gagal mempamerkan reputasinya selaku pemain No.1 dunia selepas tewas kepada pemain China, Chen Long pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Denmark malam tadi.

Chong Wei tewas straight set 22-24, 19-21.

Kekalahan itu turut menyaksikan dominasi Chen Long yang masih belum ditewaskan Chong Wei sejak tiga pertemuan terakhir pada Terbuka Hong Kong tahun lalu.

Chong Wei yang tewas dalam aksi final di Hong Kong, kemudiannya tumpas kepada pemain kedua dunia itu di peringkat yang sama pada Seluruh England 2013 Mac lalu.

Rekod pertemuan Chong Wei dengan Chen Long kini sama iaitu 7-7 sejak mula bersemuka pada Terbuka India 2009.

Pada aksi final di Denmark itu, Chong Wei turut memberikan tentangan untuk mengheret set pertama ke mata penentuan, namun ia lebih memihak kepada Chen Long.

Skrip yang sama turut dipamerkan apabila kedua-dua pemain itu dilihat berhempas pulas untuk meraih mata sehingga ke penghujung perlawanan.

Chong Wei berjaya menyamakan mata 18-18 dan 19-19, namun set kedua itu tetap memihak kepada Chen Long yang meraih kemenangan straight set dalam tempoh satu jam lapan minit.

Dalam pada itu, gandingan baharu Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeng Seong mengungguli beregu lelaki selepas menewaskan juara dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-16.

Pemain perseorangan wanita China, Wang Yihan meraih gelaran kedua Terbuka Denmark apabila menewaskan Sung Ji Hyun dari Korea Selatan dalam satu perlawanan sengit.

Juara edisi 2010 dan pemain No. 5 dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum mencatatkan kemenangan dramatik dengan keputusan 16-21, 21-18, 22-20.

Dalam aksi beregu campuran pula, pasangan No. 1 dunia, Zhang Nan-Zhao Yunlei dari China menewaskan gandingan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir 21-11, 22-20.

China turut mendominasi beregu wanita menerusi Bao Yixin-Tang Jinhua yang mudah menumbangkan gandingan tuan rumah, Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl 21-16, 21-13.