Casillas mungkin tinggalkan Real

MADRID – Penjaga gol Real Madrid, Iker Casillas mengakui, dia mungkin meninggalkan gergasi bola sepak Sepanyol itu jika peluang untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan semakin berkurangan.

Casillas, yang hanya beraksi dalam satu perlawanan penuh musim ini, gagal meraih tempatnya daripada Diego Lopez dalam kesebelasan utama selepas tangan kirinya patah musim lepas.

“Jika keadaan masih tidak berubah dalam tempoh tiga bulan ini, saya mungkin terpaksa meninggalkan kelab,” kata pemain antarabangsa Sepanyol berusia 32 tahun itu.

Casillas menjadi penjaga gol pilihan utama Real sejak 1999 dan membantu kelab merangkul dua gelaran Liga Juara-Juara serta lima kejuaraan dalam Liga Sepanyol.

Dia juga merupakan kapten Sepanyol sewaktu menjulang Piala Dunia 2010 dan Kejuaraan Eropah dua kali berturut-turut.

Menurut Casillas, dia masih mahu kekal di Real Madrid, tetapi juga mahu bermain dan berada dalam persaingan yang lebih kompetitif. – AGENSI