BPL: Arsenal dan City cemerlang

LONDON – Dua jaringan Mesut Ozil membantu Arsenal membenam Norwich 4-1 di Emirates semalam, sekali gus mengukuhkan cengkamannya sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris.

Ketika The Gunners terus menikmati musim yang menggembirakan, Liverpool dan Manchester United meraih keputusan mengecewakan apabila sekadar seri dalam perlawanan masing-masing.

Liverpool gagal memanfaatkan kelebihan berdepan 10 pemain Newcastle apabila seri 2-2 di St JamesÂ’ Park, pada ketika United diikat 1-1 oleh Southampton di Old Trafford.

Chelsea sebaliknya melonjak ke tangga kedua liga dengan membelasah kelab bermasalah, Cardiff City 4-1 di Stamford Bridge.

Arsenal, yang kini melebarkan rekod tanpa kalah dalam 12 perlawanan membuka jaringan menerusi Jack Wilshere pada minit ke-18, sebelum Ozil menambah gol di minit ke-58 dan 88. Satu lagi gol Gunners disempurnakan oleh Aaron Ramsey pada minit ke-83.

Di Newcastle, Liverpool dipaksa bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk membawa pulang mata berharga dan memastikan misi memburu empat kedudukan teratas liga masih di landasan terbaik.

Tuan rumah terpaksa mengharungi saingan dengan 10 pemain selepas Mapou Yanga-Mbiwa dilayangkan kad merah pada minit ke-40 kerana menjatuhkan Luis Suarez.

Newcastle terdahulu di depan menerusi rembatan kencang Yohan Cabaye pada minit ke-23.

Bagaimanapun Liverpool menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-42 apabila tindakan Yanga-Mbiwa mengkasari Suarez membawa padah.

Steven Gerrard tenang mengambil sepakan untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Biarpun beraksi dengan kekurangan pemain, Newcastle tetap berjaya menambah gol melalui sepakan kaki kiri pemain gantian, Paul Dummett pada minit ke-57.

Liverpool, yang membelasah The Magpies 6-0 pada pertemuan musim lalu, bangkit sekali lagi hasil gerakan Suarez yang berjaya ditanduk oleh Daniel Sturridge pada minit ke-72.

Sementara itu, Sergio Aguero menyumbat dua gol dan mencipta gerakan satu gol lain untuk membantu Manchester City menewaskan West Ham 3-1 dalam Liga Perdana Inggeris pagi ini.

David Silva menjaringkan gol ketiga City.

Kemenangan itu membolehkan City mendaki ke tangga keempat liga.

Manchester United hampir dimalukan oleh Southampton setelah sekadar seri 1-1 di tempat sendiri.

Highlights BPL Gameweek 8