Bosnich gesa Ferguson bimbing Australia

LONDON – Bekas penjaga gol Socceroos, Mark Bosnich menggesa Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) agar memujuk bekas pengendali Manchester United, Alex Ferguson untuk membimbing skuad kebangsan negara itu pada pusingan akhir Piala Dunia di Brazil, tahun depan.

Bosnich, 41, yang pernah menjadi jurulatih di bawah Ferguson sepanjang empat tahun di United, percaya, pengurus kelahiran Scotland itu mampu membawa Australia melangkah jauh sekiranya beliau sedia untuk keluar daripada persaraan dan membimbing mereka pada Piala Dunia.

Australia sedang mencari pengurus baharu selepas memecat jurulatih kelahiran Jerman, Holger Osieck, Jumaat lalu ekoran dua aksi buruk yang ditunjukkan mereka baru-baru ini. Skuad Socceroos dibelasah 6-0 oleh Perancis dan Brazil pada aksi persahabatan.

Guus Hiddink, yang membimbing Australia melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2006 mengetuai senarai calon pengurus, selain jurulatih kelab Melbourne Victory, Ange Postecoglou.

Namun Bosnich, yang mempunyai hubungan baik dengan Ferguson sepanjang di United dari 1999 hingga 2001 menegaskan, pengurus veteran berusia 71 tahun itu adalah orang paling layak untuk menggalas tugas menaikkan semula bola sepak Australia.

Mark Bosnich ketika di Manchester United

“Kita telah mendengar banyak nama disebut bagi menggantikan Osieck, tetapi ada satu nama yang tidak kedengaran. Jujur saya katakan, saya mempunyai pengalaman berkhidmat di bawahnya, dan beliau adalah Sir Alex Ferguson.

“Namanya tidak dipertimbangkan sebagai calon pengurus, sedangkan kita memerlukan seorang jurulatih seperti Ferguson. Beliau akan melatih pasukannya sehingga ke tahap maksimum.

“Begitupun dalam kehidupan kita, terutama dalam sukan kita akan dapat hasil daripada apa yang kita keluarkan. Kalau kita mahu yang terbaik, maka kita kena sanggup mengeluarkan bayaran yang lebih untuk mendapatkan hasil yang terbaik,” ujar Bosnich.

Ferguson pernah membimbing skuad kebangsaan Scotland pada Piala Dunia 1986 di Mexico ekoran kematian Jock Stein.

Beliau mengumumkan persaraan musim lalu selepas 27 tahun membimbing Unuted. Ferguson menamatkan musim terakhirnya di Old Trafford dengan membantu pasukan itu merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris ke-13 di bawah kendaliannya. Malah, sepanjang menjadi pengurus United, beliau juga telah membawa skuad Red Devils merangkul dua gelaran Liga Juara-Juara Eropah dan lima Piala FA.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi FFA, Frank Lowy percaya, jurulatih tempatan akan menjadi calon utama untuk dilantik sebagai pengurus baharu Socceroos pada Piala Dunia 2014 dan Piala Asia 2015.

Jika cadangan Lowy dipersetujui FFA, maka nama Ferguson atau Hiddink bakal luput daripada senarai. Sebaliknya, Postecoglou mengetuai senarai bersama jurulatih Central Coast, Graham Arnold dan Tony Popovic yang membimbing Western.

“Jurulatih asing akan dipertimbangkan jika kami gagal mencapai persetujuan untuk melantik salah seorang daripada tiga calon ini,” kata Lowy. – AGENSI