Barcelona sedia tunggu Januzaj

LONDON – Barcelona bersedia untuk merampas Adnan Januzaj daripada Manchester United jika bintang remaja itu menolak kontrak baharu yang ditawarkan oleh Red Devils.

Pemain tengah berusia 18 tahun itu mencuri tumpuan apabila mempamer aksi cemerlang, termasuk meledak dua gol cantik dalam penampilan sulungnya ketika United menumpaskan Sunderland 2-1 pada saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Barcelona telah mengikuti perkembangan pemain kelahiran Belgium itu sebelum dia menyertai United dari Anderlecht pada 2011.

Malah, gergasi bola sepak Sepanyol itu yakin, Januzaj akan berpindah ke Nou Camp apabila kontraknya tamat, lapan bulan dari sekarang.

Walaupun Januzaj mengakui, dia gembira di Old Trafford, namun pemain itu pernah berasakan dirinya seperti tidak dihargai.

Perbincangan mengenai kontraknya terhenti selepas Alex Ferguson membuat keputusan bersara, Mei lalu dan ia hanya disambung semula baru-baru ini.

Ejen pemain tersebut, Dirk de Vriese minggu lalu memberi amaran: “Saya tidak akan mendedahkan pasukan mana yang berminat mendapatkan pemain ini tetapi saya boleh beritahu anda ada beberapa kelab Eropah menunjukkan minat.”

United berharap, keputusan pengurus baharu, David Moyes yang cenderung memberi kepercayaan kepada Januzaj, selain kontrak lumayan jangka panjang yang ditawarkan oleh kelab dapat mengekalkan pemain itu di Old Trafford.

Bagaimanapun apa yang membimbangkan mereka, Januzaj dan De Vriese bakal dipengaruhi oleh bapa pemain itu, malah Moyes baru-baru ini mendedahkan, pemain tersebut ‘dipengaruhi orang sekeliling’.

Ketua Pembangunan Anderlecht, Jean Kindermans, orang yang bertanggungjawab mengesan bakat Januzaj turut memberi amaran, bapa pemain itu memegang kuasa terakhir negara mana atau kelab mana yang akan diwakili oleh anaknya.

Dilahirkan di Belgium dan anak kepada pasangan berketurunan Kosovo serta Albania, Januzaj layak beraksi bersama beberapa negara.

Pengurus Belgium, Marc Wilmots telah membuat langkah pertama dengan menyenaraikan pemain itu dalam skuad ke kelayakan Piala Dunia menentang Croatia dan Wales, bulan ini.

Bagaimanapun tawaran tersebut ditolak oleh Januzaj, yang meminta United menulis surat balasan kepada Belgium bahawa dia memerlukan masa untuk memikirkan tendang masa depannya di peringkat antarabangsa.

“Pada ketika ini, bola sepak antarabangsa bukan perkara yang terlalu saya fikirkan. Saya sedar, pertama sekali saya kena memberi tumpuan kepada United kerana itu adalah bahagian paling penting dalam karier saya sekarang,” katanya.

Wilmots berkata, beliau menghormati keputusan pemain itu kerana setiap pemain berhak membuat pilihan.

“Ini kali pertama saya cuba menyenaraikannya dalam skuad kebangsaan kerana saya mahu menghantar mesej yang jelas kepadanya, tetapi saya menghormati keputusannya,” ujar Wilmots.

Selain Barcelona, jiran United, Manchester City juga bakal menjadi pesaing terbaharu dengan menyuarakan minat terhadap bintang muda itu.

Malah, kehebatan Januzaj turut diintai juara Eropah, Bayern Munich dan juara Serie A, Juventus. – AGENSI