Bale belum dapat sesuaikan diri di Real

MADRID – Bekas pemain pertahanan Real Madrid, Michel Salgado percaya Gareth Bale masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kelab Sepanyol itu.

Bale menyertai Real dari kelab Liga Perdana England, Tottenham Hotspur pada September lalu selepas dipercayai melengkapkan yuran perpindahan sebanyak £85.3 juta (RM435 juta).

Pemain Wales itu hanya membuat tiga penampilan bersama kelab gergasi Sepanyol itu sebelum ditimpa masalah kecederaan kaki meskipun Bale berjaya menjaringkan gol pertama ketika penampilan sulung bersama Real mengikat Villarreal 2-2.

Pemain sayap berusia 24 tahun itu telah dijadikan perbandingan dengan penyerang sensasi, Cristiano Ronaldo selepas Bale menjaringkan banyak gol ketika bersama Spurs pada musim lalu.

Sebagai rekod, Bale telah menjaringkan 26 gol buat Spurs dalam kesemua pertandingan pada musim 2012/13.

Namun, Salgado yang berjaya memenangi empat gelaran Liga Sepanyol dan dua kali menjulang Liga Juara-Juara sepanjang 10 tahun bersama Real, tidak percaya Bale mampu menyaingi rekod jaringan Ronaldo.

“Ia satu isu yang amat merumitkan. Pada mulanya, penyokong-penyokong tidak dapat menjangka kerana Real telah membayar lebih banyak wang berbanding Ronaldo.

“Sudah tentu mereka (penyokong-penyokong) membayangkan Bale dapat menyaingi rekod jaringan Ronaldo tetapi malangnya, tidak,” katanya.

Begitupun, Salgado yang pernah bertemu Bale ketika mewakili bekas kelab, Blackburn Rovers mengakui bakat yang dimiliki Bale tetapi dia percaya pemain itu masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri bersama Real.

“Saya pernah ‘sengsara’ ketika menentang Bale sebagai pemain.

“Dia adalah seorang pemain yang menakjubkan dengan memiliki kelebihan dari segi potensi tetapi Bale masih memerlukan masa untuk untuk menyesuaikan diri dengan Liga Sepanyol,” katanya. – Agensi

One Reply to “Bale belum dapat sesuaikan diri di Real”

Comments are closed.