Azraai sedia bimbing Kedah

KUALA LUMPUR – Selepas tidak terikat lagi dengan Perak, Mohd. Azraai Khor yang menyambut hari lahirnya yang ke-61 hari ini jelas tidak mahu menunggu terlalu lama untuk berehat apabila mengakui beliau sedia kembali membimbing Kedah jika mendapat tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam masa terdekat.

Mengakui yang beliau masih sayang pada pasukan Kedah, di samping turut peka dengan kehendak penyokong setia Hijau Kuning yang masih rindukan sentuhannya sehingga muncul juara double treble pada tahun 2007 dan 2008, Azraai juga menjelaskan, beliau telah melupakan segala permasalahan lama dengan KFA.

Ujar Azraai, beliau mahu membuka lembaran baru bersama Kedah pada musim akan datang dan membina kembali kekuatan skuad Kenari walaupun terpaksa berjuang dari Liga Perdana.

Malah, sudah ramai bekas pemain yang pernah bersamanya sebelum ini berharap agar beliau kembali pulang ke pangkuan skuad Kenari dan mahu bersama-sama membina semula kegemilangan Kedah di persada bola sepak tempatan setelah tenggelam beberapa tahun ekoran masalah dalaman KFA.

”Jika Kedah ada mengemukakan tawaran, terus-terang dengan hati terbuka sedia kembali berkhidmat dengan negeri kelahiran saya tanpa sebarang masalah.

”Saya juga ada menerima panggilan telefon daripada beberapa bekas pemain yang kini bersama pasukan lain yang berharap agar saya kembali membimbing Kedah dan membina semula pasukan seperti mana zaman kegemilangan yang kita tempuhi dahulu.

”Saya telah lupakan segala masalah lama pernah berlaku dengan pihak pengurusan terdahulu dan bersedia memulakan kehidupan baru bersama Kedah seandainya mereka memang berminat mahu mendapatkan saya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Nama Azraai dan Kedah bagaikan tidak boleh dipisahkan kerana itu merupakan orang yang bertanggungjawab menaikkan bola sepak Kedah dengan menjuarai Piala Malaysia sebanyak dua kali pada tahun 2007 dan 2008 selain Liga Super pada dua tahun yang sama.

Tanpa terlalu bergantung kepada nama-nama besar, Azraai juga berjaya menghasilkan ramai pemain muda berbakat besar seperti Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhymeen, Sabree Mat Abu dan Mohd. Shafizan Hashim.

Namun, dalam masa sama Azraai tidak menafikan beliau sudah menerima beberapa tawaran rasmi daripada pasukan lain, tetapi tidak mahu mendedahkan kepada pihak umum dalam masa terdekat.

”Memang buat masa ini ada pasukan dan kelab yang menghubungi saya cuma saya tidak dapat memberikan maklum balas kepada mereka dalam masa terdekat kerana mahu berehat terlebih dahulu di kampung halaman.

”Mungkin pada penghujung bulan ini saya akan nyatakan jawapan saya kemungkinan pasukan mana yang saya berminat untuk kendalikan pada musim hadapan.

”Apa yang terjadi kepada saya sebelum ini memberikan pengajaran terbaik agar lebih berhati-hati memilih pengurusan yang bertanggungjawab terhadap pemain dan jurulatih supaya pisang tidak berbuah dua kali,” katanya. – Utusan