Awas perangkap Bahrain – Rajagobal

Kelana Jaya: Jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal enggan menganggap kekalahan Bahrain kepada Thailand 1-0 pada aksi persahabatan di Bangkok, kelmarin sebagai kelebihan buat skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan ketiga Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 menentang pasukan ranking ke-121 dunia itu di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Bahrain menang kedua-dua aksi awal Kumpulan D sebelum ini dengan menewaskan Yaman 2-0 dan Qatar 1-0 ketika di bawah kendalian jurulatih dari Argentina, Gabriel Calderon manakala skuad Rajagobal tewas 2-0 kepada Qatar sebelum bangkit menewaskan Yaman 2-1 di Shah Alam, 22 Mac lalu.

Namun Bahrain sejak 14 Ogos lalu dibimbing jurulatih baru dari England, Anthony Hudson yang hanya berusia 32 tahun dan masih belum meraih sebarang kemenangan selepas tewas 2-1 kepada Kuwait, bulan lalu dan terbaru tumbang 1-0 kepada Thailand.

Raih tiga mata

“Kita tetap perlu memberi tumpuan kepada persiapan pasukan kita sendiri walaupun tahu Bahrain tewas 1-0 kepada Thailand. Lagi pun Thailand juga pasukan yang bagus. Jadi saya tak mahu terlalu memikirkan ia boleh memberi kelebihan kepada kita.

“Keputusan perlawanan persahabatan tidak menggambarkan kekuatan sebenar sesuatu pasukan itu. Mereka boleh tewas aksi persahabatan tetapi apabila datang ke perlawanan sebenar mampu memberikan aksi berbeza.

“Apa pun saya mahu pemain yakin dengan apa yang kita ada dan turun dengan penuh keyakinan untuk cuba meraih tiga mata penuh, Selasa ini,” kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, petang semalam.

Ungkit kisah lama

Datuk K. Rajagobal mahu semua pihak agar tidak mengungkit mengenai rekod kekalahan dibelasah 4-1 oleh Bahrain pada kelayakan Piala Dunia 2010 apabila kedua-dua pasukan berentap lagi pada kelayaskan Piala Asia 2015, Selasa depan.

Tegas Rajagobal, sejarah sepatutnya hanya tinggal sejarah, dan pertemuan di Stadium Shah Alam minggu depan adalah satu catatan baharu buat Malaysia.

Pada 2010, Malaysia yang ketika itu dibimbing oleh B. Sathianathan dibelasah 4-1 di Riffa.

Tegas Rajagobal, beliau bukan mahu mendabik dada bahawa kekecewaan lampau mampu dipadam, cuma beliau tidak mahu perkara yang tidak sepatutnya menjadi bahan cerita menjelang perlawanan getir buat Malaysia.

Katanya, Malaysia bukan saja bakal dibarisi skuad berbeza berbanding enam tahun lalu, selain dibimbing oleh jurulatih berbeza, malah Bahrain sendiri kini di bawah kendalian jurulatih baharu berusia 32 tahun, Anthony Hudson.

‘‘Tidak payah hendak cakap benda lama, yang penting kita mesti fikirkan pada pertemuan 15 Oktober ini biarpun kita tahu Bahrain adalah sebuah pasukan kuat dari Timur Tengah serta mempunyai sejarah yang baik dalam pusingan kelayakan AFC.

‘‘Namun, tumpuan kita adalah membuktikan sesuatu dalam perlawanan itu nanti dan mendapat keyakinan bagi meraih keputusan yang baik terutamanya memburu tiga mata buat pasukan,” katanya.

Walaupun tumbang di tempat lawan, Malaysia berjaya mengikat Bahrain 0-0 pada pertemuan timbal balik kedua di Stadium Shah Alam enam tahun lalu, yang menjadi pertemuan terakhir kedua-dua pasukan.

Berdasarkan rekod pertembungan, kali terakhir Malaysia menjinakkan Bahrain adakah pada 1978 di Daegu, Korea Selatan dengan keputusan 2-1.

Selepas detik itu, dalam tujuh perlawanan terakhir, hanya tiga keputusan seri serta empat kekalahan dicatatkan.

Namun, kekalahan mengejut 0-1 Bahrain kepada negara jiran, Thailand dalam aksi persahabatan di Bangkok, kelmarin mungkin memberi sedikit harapan buat pasukan negara.

Harimau Malaya yang tempang semasa ke Shenzhen, China ekoran kehilangan tujuh pemain menerima sedikit perkhabaran gembira apabila tunjang utama di bahagian pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak disahkan semakin pulih daripada masalah hamstring, sementara Norshahrul Idlan Talaha sudah mula menjalani latihan.

‘‘Tiga pemain saya telah dihantar pulang (cedera) iaitu Safee Sali, Helmi Remeli dan Razman Roslan tetapi hari ini (semalam) kita terima berita baik yang Aidil Zafuan sudah boleh berlatih, begitu juga Norshahrul.

‘‘Cuma Norshahrul masih menunggu laporan doktor bila dia perlu melakukan pembedahan kecederaan di hidung, saya harap dia dapat lakukannya selepas perlawanan. Kita amat memerlukan Norshahrul kerana tanpanya ia pasti boleh mengganggu rentak kita.

‘‘Sebagai pengganti, Mohd. Farisham Ismail, Syahrul Azwari dan Mohd. Hairol Mokhtar dipanggil. Kita boleh memberi tumpuan walaupun kita tahu pemain yang cedera ini mampu membawa perbezaa,” ujarnya lagi.

Pemain lain yang berada dalam senarai kecederaan adalah Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd. Fadhli Mohd. Shas dan Nik Shahrul Mohd. Azim.