Awang Mahyan mahu lepas kucing hitam di Kuching

Kuching: Legenda bola sepak Sarawak yang juga pencipta slogan ‘Ngap Sayot’, Awang Mahyan Awang Mohamad tampil dengan idea untuk melepaskan seekor kucing hitam sebagai gimik sebelum sepak mula perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Negeri, Sabtu ini.

“Ia bukan amalan ilmu hitam tapi saya percaya ia akan memberi kesan pisikologi kepada pemain lawan,” katanya.

Awang Mahyan berkata, perbuatan melepaskan kucing hitam ketika perlawanan di era beliau sebagai jurulatih adalah idea seorang peminat tegar pasukan Ngap Sayot ketika itu.

“Walaupun ia perbuatan suka-suka tetapi pada penghayatan saya ia berkesan kerana itu adalah perang psikologi ke atas pemain lawan hingga mereka hilang tumpuan pada perlawanan.” Menurut Awang Mahyan, kucing hitam juga adalah maskot asal penyokong pasukan Ngap Sayot sementara buaya adalah maskot bagi slogan Bujang Senang.

Ketika pertemuan panas Sarawak bertemu Kedah tahun 88 

“Kucing hitam melambangkan kekuatan, ketangkasan dan keberanian,” katanya. Mengulas pertemuan Sabtu ini, beliau berpendapat Sarawak perlu mengamalkan corak menyerang dan menjaringkan gol dalam tempoh 15 minit awal.

Sementara itu, pada saingan separuh akhir pertama minggu lalu, Bujang Senang ‘tempang’ tanpa kehadiran Joseph Kalang Tie dan Ronny Harun yang masing-masing digantung satu perlawanan serta dibelenggu kecederaan.

Ketiadaan dua tonggak itu memaksa penyerang berbisa, Bobby Gonzales mengemudi jentera serangan seorang diri selepas gandingannya iaitu Muamer Salibasic diturunkan ke bawah untuk menggerakkan sayap kiri.
Namun, Sabtu ini, keyakinan untuk Bujang Senang melibas Tok Gajah lebih kuat dengan kehadiran semula Joseph Kalang dan Ronny.

SALIBASIC (kiri) harapan Bujang Senang robek gawang Pahang

Bobby dijangka sekali lagi bergandingan dengan Salibasic untuk mengkucar-kacirkan pertahanan Pahang sekali gus merealisasikan misi Sarawak mengurangkan defisit dua gol bagi memburu tempat ke final.

“Dari segi taktikal, bermain seorang diri di bahagian atas ketika aksi separuh akhir pertama sebelum ini agak sukar lebih-lebih lagi Pahang memiliki barisan pertahanan yang agak bagus.

“Sekarang Joseph Kalang sudah ada, Ronny pun dijangka bermain semula untuk memberi sokongan di bahagian bawah. Saya bakal mendapat gandingan lama iaitu Salibasic,” kata pemain berusia 29 tahun itu.

Turun dengan reputasi sebagai penjaring kedua terbanyak Liga Perdana 2013, anak kelahiran Sipitang, Sabah itu menggalas harapan tuan rumah untuk merobek sebanyak mungkin gawang pasukan pelawat.

“Siapa yang menjaringkan gol tidak penting, sebaliknya kami mahu menang dan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas kali terakhir Sarawak melakukannya pada 1999.

“Untuk rekod peribadi pula, saya sendiri pun tidak pernah beraksi di pentas final,” katanya.

Ditanya peluang untuknya disenaraikan dalam pasukan kebangsaan mungkin terbuka luas sekiranya berjaya membawa Sarawak mara ke final, Bobby berkata, beliau tidak lagi memikirkan perkara tersebut.

“Saya enggan berharap, lagi pun keutamaan saya sekarang ialah memastikan Sarawak menang. Jika ada rezeki beraksi di final, fokus saya seterusnya pula ialah membantu Sarawak menjadi juara,” katanya.