ASP wanita dituduh lepas ‘doktor kasanova’

GEORGE TOWN – Seorang pegawai polis wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membantu seorang tahanan meloloskan diri ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini baru-baru ini.

Tertuduh, Asisten Superintendan L. Chand Kumari, 56, dituduh sengaja melepaskan K. Prabaharan, 45, yang ketika itu dalam jagaan dan kawalannya di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang pada pukul 1.50 petang, 9 Oktober lalu.

Dia yang mengaku tidak bersalah dituduh di bawah Seksyen 225A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kasanova @ K. Prabaharan

Dalam pada itu, Chand Kumari turut berdepan dakwaan membuat laporan palsu mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada pukul 8.05 malam, hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia yang berkhidmat selama 20 tahun dalam pasukan polis didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan, denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam kejadian itu, suspek dikatakan dibawa anggota polis pengiring dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, Pahang ke Penjara Pulau Pinang, sebelum dihubungi seorang pegawai polis wanita terbabit untuk dibawa ke pejabatnya.

Suspek diminta dibawa ke pejabat pegawai terbabit dengan alasan lelaki itu mempunyai kes sebutan di Mahkamah Sesyen Georgetown.

Ketika berada di pejabat pegawai polis terbabit, suspek yang berkemeja-T ungu dan seluar pendek coklat dan masih bergari berjaya meloloskan diri.