Alex Ferguson pertahankan Moyes

LONDON – Bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson yakin David Moyes akan mengembalikan semula kegemilangan skuad The Red Devils.

Meskipun Moyes gagal melakukannya, Ferguson yang dilabel sebagai pengurus paling berjaya di Britain tidak akan mengambil-alih semula jawatan itu.

Moyes menempuh pengalaman ‘ngeri’ Old Trafford apabila United melakukan permulaan yang buruk dalam saingan Liga Perdana England sejak 1989 apabila Ferguson tertekan untuk mengumpul trofi dalam kabinetnya.

Bagaimanapun, keputusan seri 1-1 dengan Shakhtar Donetsk pada aksi Kumpulan A kempen Liga Juara-Juara di Donbass Arena awal pagi semalam dianggap sebagai satu petanda yang baik buat Moyes selepas selepas mengalami kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana England.

Ferguson berkata, beliau yakin bekas pengurus Everton ini akan membuktikanya.

“Moyes akan menjalankan tugas yang baik untuk United. Saya yakin mengenai perkara itu.

“Beliau adalah pilihan saya untuk menggantikan tempat saya dan sudah tentu saya menyokongnya 100 peratus.

“Kelab juga akan memberikan sokongan penuh dan beliau akan melakukannya dengan baik. United dibimbing seorang pengurus yang tepat,” kata Ferguson.

Ferguson memenangi 13 gelaran Liga Perdana England dan dua trofi Liga Juara-Juara sepanjang 27 tahun di Old Trafford.

Bagaimanapun, Ferguson berkata, pada usia 71 tahun, beliau tidak berpeluang untuk keluar daripada persaraan.

Sementara itu, Moyes mengakui berpuas hati apabila skuad The Red Devils bangkit daripada kekalahan kepada 1-2 kepada West Bromwich Albion di Old Trafford, Sabtu lalu dengan mencuri satu mata pada aksi menentang Donetsk.

Moyes berkata, keputusan seri itu sudah memadai meskipun mereka mendahului menerusi jaringan Danny Welbeck pada minit ke-18 sebelum Taison mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-76. – Agensi