Alex Ferguson mula bersuara

MANCHESTER – Satu trofi sahaja sudah mencukupi buat Manchester United musim ini.

Demikian kata bekas pengurus United, Alex Ferguson selepas skuad kendalian David Moyes sekadar seri 1-1 dengan Southampton dalam aksi Liga Perdana England di Old Trafford kelmarin.

Keputusan itu jelas menyukarkan hasrat United bagi mempertahankan kejuaraan liga musim lalu apabila sekadar mengutip 11 mata, lapan mata di belakang Arsenal yang menerajui liga setakat ini.

Musim ini, mereka hanya menang tiga kali di bawah kendalian Moyes yang menggantikan Ferguson yang bersara.

“Bagi Moyes, menang satu trofi sudah memadai tidak kira Piala Liga, Piala FA, Liga Juara-Juara mahupun trofi Liga Perdana England.

“Buat masa ini, sukar untuk United mempertahankan trofi Liga Perdana England memandangkan pasukan lain cukup mantap,” kata Ferguson.

Dalam perlawanan itu, United terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Robin van Persie pada minit ke-26.

Namun, kealpaan benteng pertahanan dihukum penyerang pelawat, Adam Lallana yang menyamakan kedudukan pada penghujung babak kedua. – AFP