Aksi Harimau Muda pikat Rajagobal

Kuala Lumpur: Seramai 10 pemain skuad B-23 negara yang menjuarai Pestabola Merdeka, 14 September lalu mendapat perhatian Datuk K Rajagobal apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi persiapan menghadapi Bahrain pada aksi ketiga Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.

Enam daripada mereka – Fadhli Shas (Harimau Muda A), Wan Zack Haikal Wan Nor (FC Ryukyu), Nik Shahrul Azim Ab Halim (Kelantan), K Reuben (Tentera), Nazmi Faiz Mansor (PKNS FC) dan S Sivanesan (Negeri Sembilan) berada dalam senarai 28 pelatih untuk kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, bermula hari ini.

Baki empat lagi pemain iaitu penjaring terbanyak Pestabola Merdeka, Rozaimi Abd Rahman, Syahrul Azwari Ibrahim dan kapten, Irfan Fazail serta pemain berdarah campuran, Junior Eldstal dari Sarawak berada dalam senarai menunggu bersama 10 pemain lain.

Dalam senarai 28 pelatih yang dikeluarkan pengendali Harimau Malaya, Datu K Rajagobal, semalam turut menampilkan muka baru seperti penjaga gol PKNS FC, Remezey Che Ros dan bek kiri Sime Darby, Arif Ismail serta dua pemain yang kembali dipanggil iaitu Amirizdwan Taj Tajudin (Tentera) dan Nizad Ayub (PKNS FC).

Namun nama kapten Kelantan, Badhri Radzi dan seorang lagi pemain skuad Pestabola Merdeka Zubir Azmi dari Terengganu yang dipertaruhkan pengendalinya, Ong Kim Swee sebagai bek kiri sepanjang kejohanan itu tiada dalam senarai 28 pelatih.

Apa pun, penyerang prolifik Sarawak, Bobby Gonzales mungkin lebih bernasib baik apabila namanya dalam senarai menunggu.