Aerosmith hadiahkan gitar kepada Presiden Uruguay

MONTEVIDEO, Uruguay – Anggota-anggota kumpulan rock Amerika syarikat, Aerosmith telah bertemu dengan Presiden Uruguay, Jose Mujica, 78, di pejabat pemimpin tersebut pada Selasa lalu.

Kumpulan itu kemudian menghadiahkan gitar elektrik kepada Presiden tersebut.

Penyanyi utama kumpulan itu, Steven Tyler memberitahu anggota-anggota kumpulan itu menganggap Mujica sebagai salah seorang pemimpin yang terbaik di benua Amerika.

“Pemimpin kamu berjuang untuk kebebasan dan kami juga berjuang untuk kebebasan melalui muzik,” kata Tyler.

Setelah selesai sesi pertemuan selama tiga jam, Mujica bergambar bersama gitar elektrik pemberian Aerosmith itu.

Mujica sebelum ini tidak pernah mendengar lagu-lagu kumpulan rock itu.

Beliau merupakan bekas pejuang gerila berhaluan kiri dan pernah dipenjarakan selama 14 tahun di penjara dan diseksa kerana memperjuangkan kepentingan penduduk.

Mujica memang dikenali kerana hidup dengan penuh kesederhanaan.

Ketika memegang jawatan pada tahun 2010, dia mengisytiharkan hartanya adalah sebuah kereta Volkswagen Beetle.

Ekoran itu, dia dikenali sebagai seorang Presiden yang paling miskin di dunia. – Agensi