3 maut akibat keracunan makanan kenduri

Alor Setar: Hidangan ayam masak merah dipercayai menjadi punca tiga tetamu termasuk seorang budak lelaki meninggal dunia apabila mengalami keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani, Sabtu lalu.

Mangsa dikenali Mohd Nor Rahmat Yusuf, 11, dari Kampung Singkir Laut, Sungai Petani, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Gombak Nurshazana Mohd Rashid, 24 dan seorang warga emas dari Kampung Huma, tanjung Dawai, Sungai dikenali sebagai Ibrahim Mohamad, 62.

Setakat ini, dua lagi lelaki termasuk seorang kanak-kanak dipercayai turut mengalami keracunan makanan dan dilaporkan berada dalam kritikal di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Sehingga jam 8 malam tadi, 35 orang masih menerima rawatan di HSAH; 30 orang lagi dirawat di Hospital Yan; seorang lelaki berusia 21 tahun dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, manakala empat orang dilaporkan menerima rawatan sebagai pesakit luar di HSB.

Mangsa terbaru keracunan makanan, Ibrahim Mohamad, 62, disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 6.30 petang di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Jenazah yang dituntut keluarga akan dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu sebaik sahaja selesai bedah siasat di HSAH.

 Anak mangsa, Zulkifli, 31, berkata, bapanya dikatakan mengalami cirit-birit sejak pagi Ahad lalu akibat dipercayai keracunan makanan selepas dikatakan menghadiri majlis perkahwinan berdekatan rumahnya di Kampung Huma, Tanjung Dawai, jam 6 petang Sabtu lalu.

“Pagi itu (Ahad), ayah dah mengalami cirit-birit serta beberapa kali masuk ke tandas, bagaimanapun keadaannya masih baik serta boleh bercakap seperti biasa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HSAH hari ini.

Menurut Zulkifli, keadaan Ibrahim dilihat semakin tidak bermaya beberapa jam selepas itu menyebabkan ahli keluarga membawanya ke Hospital Daerah Yan tengah hari semalam bagi mendapatkan rawatan.

“Walaupun dibenarkan pulang selepas ditambah air dalam badan, keadaan ayah semakin lemah serta tidak mampu berjalan menyebabkan ayah terus ditahan wad.

 “Disebabkan makin kritikal, ayah kemudian dirujuk ke HSAH lebih kurang jam 2 petang tadi,” katanya.

 Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia jam 6.30 petang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat berkata, tiga mangsa berkenaan meninggal dunia apabila dipercayai mengalami keracunan makanan selepas menikmati makanan di majlis kenduri kahwin yang dilakukan secara bergotong-royong itu.

Menurutnya, semua mangsa yang meninggal dunia dikesan mengalami simptom muntah dan cirit birit hingga menyebabkan berlaku dehidrasi serius, bagaimanapun pihaknya sedang mengenal pasti punca sebenar yang berlaku untuk tindakan selanjutnya.

“Arwah mengadu sakit perut sebaik pulang dari majlis kenduri kahwin sepupunya dan kami bercadang membawanya menerima rawatan, namun tengah hari tadi (semalam), dia ditemui dalam keadaan tertiarap tidak sedarkan diri,” kata Hairul Azhar Harun, 33, sepupu kepada Nurshazana Mohd Rashid, 24, yang meninggal dunia dipercayai keracunan makanan.

Hairul berkata, sepupunya itu mengadu demikian sejurus pulang menghadiri majlis perkahwinan seorang lagi sepupu mereka di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani, Sabtu lalu.

Menurutnya, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam biliknya kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Bagaimanapun, setiba di HSAH, Nurshazana dari Kampung Tempoyak, Bedong, di sini, didapati sudah meninggal dunia di rumahnya dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, penduduk, Puan Md Noor, 55, berkata, anaknya yang berusia 25 tahun juga menerima rawatan di HSAH akibat keracunan selepas menghadiri kenduri yang sama.

 “Anak kelima saya, Mohd Nazri Deraman, turut mengalami loya dan muntah serta cirit-birit dipercayai selepas makan kenduri.

 “Nazri terlebih dahulu menerima rawatan di sebuah klinik di Semeling pada jam 9 malam semalam.

Mangsa, Rozita Sharif, sedang menerima rawatan di Hospital Yan

“Tetapi, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan keluarga membawanya ke HSAH pada jam 2 petang tadi,” katanya.

Mohd Nazri dikatakan makan kenduri pada jam 3 petang Sabtu lalu dan mula mengadu sakit pada jam 7 pagi keesokan hari.

“Tetapi Alhamdulillah selepas dimasukkan air dalam badan, dia dibenarkan pulang jam 7 malam tadi,” katanya.

Puan berkata, dia juga menghadiri majlis kenduri yang sama tetapi makan masakan yang disediakan lebih awal pada tengah hari.

“Saya juga ada cubit sikit ayam yang dimasak itu tetapi mujur tidak sakit,” katanya.

Difahamkan, majlis kenduri yang diadakan Sabtu lalu disediakan secara bergotong-royong tetapi dikatakan hanya tetamu yang menghadiri jamuan sebelah petang mengalami keracunan.

Sumber mengatakan, lebih ramai mangsa yang telah mendapatkan rawatan di klinik berhampiran serta hospital berdekatan, namun jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan berikutan tiada pengesahan dari mana-mana pihak.

 Kejadian turut dipercayai meragut dua nyawa lain termasuk Mohd Noor Rahmat, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan dan Nor Syazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Merbok.