Video – Isteri Matyo tendang celah kangkang saya – Azman

Subang Jaya: “Saya sudah serahkan kes ini kepada polis dan atas nasihat peguam, saya tidak boleh buat apa-apa komen.” Itu kata Siti Aisya Adam, 24, isteri penyerang bola sepak kebangsaan Nor Shahrul Idlan Talaha, 27, atau lebih mesra dengan panggilan Mat Yo.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi semalam untuk mendapat penjelasan berhubung klip video dia bertengkar dengan seorang pengawal keselamatan yang tersebar dengan meluas di Internet sejak malam kelmarin.

Difahamkan, adegan pertengkaran Siti Aisya dengan pengawal keselamatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTAAS) Subang, di sini, berlaku di pekarangan lapangan terbang berkenaan pada 12 September lalu.

Sehingga jam 7 malam semalam, rakaman video berdurasi 55 saat itu ditonton hampir 100,000 pelayar Internet di laman YouTube, selain menjadi topik hangat di laman sosial facebook (FB), malah ada pihak yang turut membuat video parodi (meniru secara mengejek) isteri Mat Yo.

AZMAN menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

Ketika ditanya kepada Siti Aisya, sama ada dia memuat naik rakaman video pertengkaran itu ke Internet, dia enggan mengakui atau menafikannya.

Kejadian itu dipercayai berpunca apabila Azman meminta pasangan tersebut mengalihkan kenderaan yang dinaiki mereka kerana berada di kawasan yang tidak dibenarkan.

Rakaman berdurasi 54 saat itu, turut menampakkan wajah Nor Shahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali Mat Yo, yang menyaksikan ‘perang mulut’ antara isterinya dengan pengawal keselamatan terbabit, Azman Md Nayan, 49.

Bagaimanapun, imej wanita berkenaan tidak kelihatan dalam rakaman yang dipercayai dibuat menggunakan telefon bimbit.

Insiden itu berlaku pada jam 11.42 pagi, 12 September lalu.

Berikutan insiden berkenaan, kedua-dua pihak membuat laporan polis.

Enggan mengulas

Mat Yo ketika dihubungi, malam tadi, enggan mengulas insiden berkenaan dan menyerahkannya kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, pula mengesahkan menerima dua laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan melakukan kekecohan di tempat awam.

Sementara itu, Azman mendakwa ketika dia sedang mengawasi lalu lintas di kawasan berkenaan, sebuah Mini Cooper putih berhenti di tempat letak teksi.

Azman mendakwa penumpang kereta itu meminta kebenaran untuk berhenti seketika dengan alasan mahu membeli tiket.

Bagaimanapun, selepas hampir 10 minit, kenderaan yang dipandu Mat Yo tidak beredar menyebabkan Azman meminta pasangan itu beredar.

“Saya minta mereka beredar ke tempat letak kenderaan awam jika mahu berhenti lebih lama supaya tidak mengganggu lalu lintas.

Repot Polis oleh Azman

“Tindakan saya mengundang rasa tidak puas hati wanita itu (isteri Mat Yo) yang mempertikaikan tindakan saya, selain mendakwa mereka kerabat diraja dan suaminya bekerja dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ).

“Selepas berulang kali meminta mereka beredar, wanita itu mengeluarkan kata-kata kesat serta melakukan provokasi dengan mengatakan saya bodoh dan dayus, selain merakam (menggunakan telefon) dari dalam keretanya,” katanya yang ditemui di Skypark, LTSAAS, semalam.

Elak gambar dirakam

Berikutan itu, Azman menghampiri kereta pasangan berkenaan untuk menghalang wajahnya daripada terus dirakam sebelum wanita terbabit menaikkan cermin kereta.

Katanya, kejadian itu diperhatikan Mat Yo yang keluar dari kereta ketika isterinya melemparkan kata-kata kesat.

“Mungkin kerana melihat tindakan saya menakutkan isterinya, Mat Yo menolak saya beberapa kali sebelum isterinya keluar dari kereta dan menendang celah kangkang hingga menyebabkan saya cedera,” katanya.

Video pertengkaran


Pengakuan Azman (Pengawal Keselamatan)

4 Replies to “Video – Isteri Matyo tendang celah kangkang saya – Azman”

  1. HARIMAU MALAYA

    Ini bukanlah sesuatu yang boleh dipermain-mainkan walaupun kita sendiri sedia maklum semua ini salah siapa, tetapi semua pihak mesti ambil iktibar semoga perkara ini dapat diselesaikan dengan suasana aman dan damai meskipun ada provokasi dari pihak2 tertentu.

Comments are closed.