United ikat Fellaini, Kaka kembali ke AC Milan

Manchester United telah melengkapkan perpindahan Marouane Fellaini dari Everton.

Perjanjian itu diselesaikan di saat akhir jendela perpindahan dan menemukan semula pengurus United, David Moyes dengan pemain yang sangat dikenalinya semasa di Goodison Park.

United telah membayar 27.5 juta pounds untuk mendapatkan khidmat pemain dari Belgium itu.

Moyes kurang pasti jika United akan terpaksa membayar jumlah yang ditetapkan dalam klausa kontrak, kerana itu perjanjian itu lewat dimeterai.

Kemudian, beberapa pemain sasaran tidak berjaya didapatkan, United menjadi semakin terdesak.
Ini bermakna Fellaini adalah perpindahan keempat termahal dalam sejarah United.

Sementara itu di Milan, bintang tengah Brazil, Kaka mencapai persetujuan untuk kembali ke pangkuan AC Milan semalam, selepas mengharungi beberapa tahun yang tidak menggembirakan di Real Madrid.

Pemain berusia 31 tahun itu terdesak untuk beraksi dalam lebih banyak perlawanan bersama kelab utama dalam usaha mencari tempat ke skuad Brazil pada Piala Dunia tahun depan.

Dia, yang pernah menjadi pemain terbaik dunia suatu ketika dulu tetapi lebih kerap memanaskan bangku simpanan di Santiago Bernabeu sejak kembali daripada kecederaan panjang, turut diketepikan daripada skuad Piala Konfederasi Brazil, yang menyaksikan negara itu merampas kembali kejuaraan.

Kaka kerap dihimpit kecederaan sejak beberapa tahun lalu, termasuk kecederaan lutut kiri tidak lama selepas tamat Piala Dunia 2010.

Dia membuat 82 penampilan liga sejak menyertai Real dengan bayaran 65 juta euro (RM281.25 juta) pada 2009 dan jarang diberi kepercayaan untuk beraksi dalam kesebelasan utama, sebaliknya lebih banyak memegang watak pembantu.

Milan dalam satu kenyataan rasmi berkata, Kaka atau nama sebenarnya, Ricardo Izecson dos Santos Leite telah menandatangani kontrak dua tahun apabila kembali ke San Siro buat kali kedua.

Pengumuman tersebut dibuat hanya dua hari selepas bintang tengah mereka, Kevin-Prince Boateng secara mengejut dijual kepada kelab Liga Jerman, Schalke 04.

Milan turut menambah, Kaka, yang merupakan anggota penting skuad Brazil ketika muncul juara Piala Dunia 2002 akan tiba di Itali hari ini dengan menaiki jet peribadi bersama Ketua Eksekutif kelab, Adriano Galliani.

Sepanjang enam tahun bersama Milan, Kaka mempamer impak besar, termasuk menjaringkan 10 gol pada musim pertamanya untuk membantu kelab itu merangkul kejuaraan Serie A.

Dia muncul antara pemain terbaik dunia ketika berada di Milan dengan memiliki larian yang lincah, selain keupayaan merembat gol dari jarak jauh menggunakan kedua-dua belah kaki.

Kaka juga membantu Milan muncul juara Eropah pada 2007, sebelum ditabal sebagai Pemain Terbaik Dunia pada tahun yang sama.

Kariernya bersama skuad Brazil berakhir selepas tamat Piala Dunia 2010 selepas perancang utama Brazil itu dihimpit siri kecederaan dan sering gagal berada di tahap kecergasan terbaik untuk memenuhi tugasan antarabangsa.