Tiga tonggak PKNS FC sertai Pilihan Selangor

Kuala Lumpur: Kehadiran tiga pemain PKNS FC dijangka mampu mengembalikan sokongan penyokong Merah Kuning apabila Pilihan Selangor turun menentang Pilihan Singapura pada saingan Piala Sultan Selangor ke-12 di Stadium Shah Alam, Sabtu depan.

Tiga pemain berkenaan adalah Patrick Ronaldinho Wleh, Roman Chmelo dan Nazmi Faiz Mansor menguatkan cabaran Selangor yang masih berduka dengan kegagalan layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas sekadar mencatatkan keputusan seri kelmarin.

“Piala ini sentiasa menarik perhatian penonton seperti edisi sebelum ini dengan stadium tetap dipenuhi sekitar 60,000 ribu penyokong,” kata Pengerusi penganjur Piala Sultan Selangor 2013 Datuk Abd Karim Munisar.

Tambahnya, sejumlah 12,000 keping tiket sudah dijual dan bakinya boleh dibeli hingga hari perlawanan dengan 30,000 tiket diberikan kepada sekolah dan 15,000 tiket diperuntukkan untuk kelab penyokong.

Terdahulu, berlangsung majlis pengumuman TV3 sebagai penyiar rasmi Piala Sultan Selangor 2013 di Sri Pentas, Bandar Utama dengan Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Perkongsian Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Kamal Khalid berkata, beliau berbesar hati kerana TV3 buat pertama kali bakal menyiarkan siaran langsung perlawanan berkenaan.

“Ini sebahagian tanggungjawab kami dalam sukan terutama menyiarkan siaran bola sepak. Sebelum ini TV9 turut menyiarkan siaran langsung Pestabola Merdeka dan kemungkinan untuk kami menyiarkan siaran langsung Liga Malaysia 2014 terletak di tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” kata Kamal.