Thailand ambil mudah Pestabola Merdeka

KUANTAN – Jika Malaysia, Singapura dan Myanmar menjadikan Pestabola Merdeka 2013 sebagai medan pemanas badan bagi Sukan SEA 2013, lain pula dengan Thailand yang sekadar menghantar pasukan caca marba.

Mereka menyenaraikan 16 daripada 20 pemain dari kelab Divisyen Dua Selatan Thailand, Narathiwat FC yang sudah melebihi umur 23 tahun.

Menjadikan alasan jadual liga yang ketat dan pemain tidak mendapat pelepasan dari kelab masing-masing, wakil Thailand, Sarana Chaichanadet, berkata, mereka tiada pilihan lain selain menggunakan pemain sedia ada.

”Purata umur pemain pasukan ini adalah 27 tahun dan ini sahaja pemain yang kami ada kerana seperti mana liga anda di Malaysia, liga kami juga sedang berlangsung dan akan berakhir pada Oktober.

”Walaupun begitu, saya tetap mensasarkan mahu pergi jauh dalam kejohanan ini tetapi saya meletakkan Malaysia selaku tuan rumah sebagai pilihan utama untuk muncul juara, ” katanya pada sidang akhbar mesyuarat pengurus pasukan di Hotel Zenith, semalam.

Dikendalikan oleh Kairung Threejagsang, skuad Thailand yang membawa 20 pemain akan membuka cabaran bertemu Myanmar di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Lawan mereka, Myanmar pula berdepan sedikit kerumitan apabila pengurus mereka, Tin Myint Aung mengesahkan tujuh pemain mengalami masalah keracunan makanan sebelum tiba di Kuantan.

”Setakat ini kami ditimpa masalah apabila tujuh pemain kami mengalami keracunan dan tiga daripadanya adalah pemain utama pasukan.

”Selepas tiba di sini, dua daripadanya masih perlu dimasukkan air ke dalam badan dan peluangnya untuk bermain masih belum pasti.

”Kami tiba di sini dengan kurang persiapan namun itu menghalang kami untuk cuba menang dalam semua perlawanan dalam kejohanan kali ini, ” katanya.