Sukan Skuasy gagal bidaan ke Olimpik

BUENOS AIRES – Gusti meraih semula tempatnya dalam Sukan Olimpik apabila disenaraikan ke Temasya 2020 di Tokyo, Jepun selepas menewaskan bidaan daripada dua sukan pencabar, skuasy dan besbol-sofbol dalam pengundian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di sini, semalam.

Gusti yang tampil dalam Olimpik purba dan setiap temasya moden kecuali 1900, dikeluarkan dengan mengejut pada Februari apabila IOC mahu menyegarkan semula program sukannya.

Namun, keputusan semalam menandakan pencapaian yang luar biasa buat sukan itu yang membaik pulih peraturan, pentadbirannya, kesaksamaan jantina dan operasi ekoran penyingkiran mengejutnya.

Skuasy pula gagal dalam percubaan kali ketiganya selepas 2005 dan 2009 sebagai muka baharu Olimpik apabila hanya meraih 22 undi daripada ahli IOC berbanding gusti yang memenangi majoriti 49 daripada 95 undi manakala 24 undi buat besbol-sofbol.

Terdahulu Sesi Ke-125 IOC meluluskan 25 jenis sukan teras pada Olimpik Tokyo 2020 iaitu olahraga, mendayung, badminton, bola keranjang, tinju, kenu, berbasikal, ekuestrian, lawan pedang, bola sepak, gimnastik, angkat berat, bola baling, hoki, judo, akuatik, pentatlon moden, taekwondo, tenis, pingpong, menembak, memanah, triatlon, pelayaran dan bola tampar. – AGENSI