Seri bukan diatur bookie – On Jabbar

JOHOR BAHRU – Keputusan seri 2-2 antara Johor dan Sime Darby dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, kelmarin, nyata mengundang rasa tidak puas hati penyokong setia Johor.

Ini kerana, mereka mendakwa keputusan seri pada perlawanan kelima peringkat kumpulan antara kedua-dua pasukan itu seolah-olah mengiyakan berita yang tersebar di beberapa laman sosial Facebook minggu lalu kononnya perlawanan itu diatur bookie.

Ekoran daripada itu, suasana kecoh tercetus di stadium sejurus selepas perlawanan hampir sejam, namun ia berjaya diredakan apabila penyokong dipertemukan dengan beberapa wakil daripada pasukan Johor termasuk jurulatih dan pemain.

Bagaimanapun, dakwaan mereka kononnya perlawanan tersebut sudah diatur disangkal pengurus pasukan Johor, On Jabbar yang menyifatkan ia hanya kebetulan dan persepsi mereka kerana berdasarkan kesungguhan ditunjukkan pemain.

“Saya yakin perkara seumpama itu tidak berlaku dan percaya pemain Johor tidak terlibat. Kita dapat lihat kesungguhan yang ditunjukkan pada perlawanan tersebut, tak akan tiada siapa yang perasan kesungguhan mereka.

“Ada pemain yang beraksi dalam keadaan cedera, namun atas dasar semangat dan mahu memburu kemenangan, mereka meneruskan perjuangan dan memberikan yang terbaik dengan penuh semangat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada masa sama, On berkata, dia turut berasa terkilan kerana pemain tidak diberi sokongan sepenuhnya oleh penyokong dalam pertarungan 90 minit seperti sebelum ini disebabkan dakwaan kononnya terdapat unsur-unsur perlawanan diatur.

On juga berpendapat, kelab penyokong yang selama ini mempunyai hubungan baik dan rapat dengan persatuan sepatutnya memaklumkan perkara tersebut kepada mereka lebih awal jika terdapat sebarang keraguan sekali gus yakin dengan pasukan.

“Bagaimanapun, kita akan melakukan siasatan dan tidak akan berkompromi sekiranya wujud gejala yang didakwa,” katanya. – Utusan