Samuel Eto’o bersara kerana kecewa

YAOUNDE, Cameroon – Penyerang Chelsea, Samuel Eto’o mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan Cameroon atas ‘alasan keluarga’ selepas tidak berpuas hati dengan jurulatih, Volker Finke.

Eto’o tidak berpuas hati dengan pemilihan pemain yang dilakukan Finke meskipun dia berjaya membantu pasukan itu melayakkan diri ke pusingan akhir kelayakan Zon Afrika bagi kempen Piala Dunia 2014 di Brazil.

Pemain berusia 32 tahun yang mengancam untuk bersara daripada pentas antarabangsa pada September 2012 sebelum mengubah fikiran memberitahu rakan-rakan sepasukan di bilik persalinan selepas membantu Cameroon menewaskan Libya 1-0 di gelanggang sendiri kelmarin.

Keputusan tersebut mengakhiri penampilan selama 16 tahun Eto’o dengan skuad Indomitable Lions itu.

Eto’o dilaporkan mengambil keputusan itu selepas seminggu berada dalam situasi tegang dalam kem latihan pasukan itu.

Eto’o mahu penjaga gol, Carlos Kameni dan penyerang, Achille Webo disenaraikan dalam skuad utama pada aksi menentang Libya tetapi ditolak pengendali dari Jerman itu.

Pemain Terbaik Afrika sebanyak empat kali itu mendakwa dia tidak cergas sepenuhnya untuk bermain kerana mengalami kecederaan paha tetapi tetap beraksi pada perlawanan itu sebelum dikeluarkan pada minit ke-62.

Cameroon kini berdepan dua aksi playoff pada Oktober dan November untuk melayakkan diri ke Brazil.

Eto’o yang menandatangani kontrak setahun dengan Chelsea dari kelab Rusia, Anzhi Makhachkala bulan lalu telah meledakkan 56 gol sepanjang 114 penampilan dengan Cameroon dan beraksi sebanyak tiga kali pada pusingan akhir Piala Dunia 1998, 2002 dan 2010.

Sementara itu, Finke mengesahkan mengenai persaraan Eto’o itu.

“Eto’o merupakan seorang pemain yang hebat dan pada pendapat saya, dia sahaja yang paling layak untuk menceritakan perkara sebenar.

“Eto’o sahaja yang boleh menerangkan mengapa dia mengambil keputusan ini.

“Eto’o banyak memberikan sumbangan kepada bola sepak Cameroon dan saya tidak boleh bercakap lebih daripada itu kerana dia sahaja paling layak untuk menjelaskan keputusan itu,” kata Finke kepada pemberita kelmarin. – Agensi