Samsung perkenal jam tangan pintar

BERLIN – Syarikat teknologi terkemuka dunia dari Korea Selatan, Samsung semalam memperkenalkan gajet yang ditunggu-tunggu ramai iaitu jam tangan pintar.

Jam tangan digital itu didedahkan beberapa minggu lebih awal berbanding pesaing utamanya, Apple yang dijangka menawarkan peranti hampir sama.

Dikenali sebagai Galaxy Gear, ia diperkenalkan di sini, pada acara pameran elektronik tahunan Internationale Funkausstellung (IFA) kelmarin.

Menurut Samsung, Galaxy Gear boleh bertindak sebagai peranti tambahan kepada telefon pintar. Ia berfungsi memberitahu pengguna mengenai panggilan dan mesej yang diterima menerusi paparan skrinnya bersaiz 1.63 inci.

Pengguna juga boleh membuat panggilan tanpa perlu mengeluarkan telefon pintar mereka.

Galaxy Gear dilengkapi satu kamera asas. Ia juga boleh menggunakan aplikasi seperti Twitter dan RunKeeper. Peranti yang dikuasakan oleh Android itu akan mula dijual mulai 25 September depan di kebanyakan negara pada harga AS$299 (RM988) seunit.

Para penganalisis teknologi berpendapat jam tangan pintar itu akan menjadi hadiah yang mesti dimiliki pada musim cuti pada tahun ini. – AP