Saman AES diturunkan kepada RM150

PUTRAJAYA 18 Sept. – Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu berkaitan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) hari ini memutuskan kompaun saman sistem tersebut diturunkan kepada minimum RM150 berkuat kuasa serta-merta.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penurunan tersebut selaras dengan kadar saman yang dikenakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Melalui inisiatif ini kadar kompaun saman AES diturunkan kepada minimum RM150 selaras dengan kadar oleh PDRM, namun kadar saman ini bergantung kepada tempoh pembayaran saman dan kesalahan had laju yang dilakukan oleh pengguna jalan raya yang mana saman maksimum adalah RM300,” katanya dalam sidang akhbar Pengambilalihan Operasi Sistem AES di pejabatnya di sini.

Pada masa sama, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan juga memutuskan mengambil alih sepenuhnya operasi sistem AES daripada A.T.E.S dan Beta Tegap Sdn. Bhd. menerusi syarikat milik penuh di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) iaitu AES Solutions Sdn. Bhd. – UTUSAN ONLINE