Safee janji pamer aksi terbaik di China

PETALING JAYA – Safee Sali yang kembali menemui sentuhan ‘berbisanya’ semasa kempen Piala Malaysia 2013 bersama Johor Darul Takzim (Johor DT), pastinya ditagih rakan sepasukan bagi memberikan aksi terbaiknya pada perlawanan persahabatan menentang China minggu depan.

Harimau Malaya berlepas ke Tianjin, China, semalam dan akan menentang pasukan kebangsaan negara itu Selasa ini.

“Syukur dapat meraih kembali keyakinan dalam rentak permainan dan berjanji untuk memberikan aksi terbaik sekiranya diturunkan ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal dalam perlawanan kali ini.

“Perlawanan persahabatan kali ini juga penting kerana ia adalah antara persiapan terakhir skuad negara sebelum aksi menentang Bahrain pada kelayakan Piala Asia 2015,” katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dekat Kelana Jaya, semalam.

Menurutnya, walaupun pemain-pemain China bertubuh besar dan bermain corak pantas, skuad kebangsaan tetap tidak mengalami sebarang masalah untuk mengasak asakan lawan sekiranya dapat mengekalkan momentum yang sama ketika dalam latihan.

Selain Safee, pertahanan Pahang, Razman Roslan, turut berterima kasih kepada jurulatih kerana memanggil dia untuk menguatkan pertahanan Harimau Malaya kali ini selepas kali terakhir beraksi bersama skuad K. Rajagobal tiga tahun lalu di Piala Suzuki AFF 2010..

“Saya ingin memberikan aksi terbaik bersama skuad kebangsaan sekiranya diberikan peluang bermain dan ingin membuktikan masih menjadi antara pemain pertahanan terbaik di negara ini.

“Prestasi baik dalam kempen Piala Malaysia kali ini akan saya bawa ke aksi persahabatan menentang China nanti,” kata Razman Roslan.

Bagi penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani, kecederaan penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat memberikan peluang kepada dirinya untuk mempamerkan persembahan terbaik sekiranya diturunkan bagi menjaga gawang negara.

“Saya yakin dengan persiapan yang telah dilakukan serta komunikasi yang baik antara rakan-rakan di bahagian pertahanan, tiada masalah bagi dirinya untuk menghalang gawang negara daripada dibolosi pemain-pemain China sekiranya dia diturunkan kali ini,” katanya.- Utusan