Rozaimi, Wan Zack tetap merendah diri

PEMAIN Paling Bernilai Pestabola Merdeka 2013, Wan Zack Haikal Wan Nor tetap merendah diri walaupuan dijulang atas persembahan berkualiti sepanjang kejohanan.

Ternyata kepantasan larian dan kebolehan mengelecek pemain lawan serta mampu melakukan rembatan sambil berlari wajar diberikan perhatian pemain lain.

Menjaringkan satu gol melalui sepakan percuma ketika menewaskan Myanmar 2-1 di peringkat kumpulan, persembahan bertenaga di pentas akhir kelmarin, membuktikan gelaran pemain terbaik perlawanan dan paling bernilai yang dimilikinya sememangnya tepat.

Mendapat pendedahan di negara Matahari Terbit bersama kelab pasukan divisyen tiga Jepun (JFL), FC Ryukyu membuktikan pengalaman beraksi di perantauan sememangnya berbaloi.

Wan Zack juga menyifatkan kejayaan menewaskan Myanmar adalah hasil kerjasama berpasukan yang diterapkan jurulatih, Ong Kim Swee.

Jelasnya, pujian ke atas dirinya sahaja tidak adil kerana rakan sepasukan turut memainkan peranan penting dalam setiap kali beraksi.

“Bukan saya seorang yang cemerlang malam ini tetapi rakan sepasukan juga banyak membantu. Kerjasama sepasukan diterapkan jurulatih sememangnya banyak membantu kami untuk mempamerkan aksi menarik,” katanya.

Kegembiraan sama turut dikongsi penjaring gol pertama Harimau Muda A, Rozaimi Abd Rahman yang tetap merendah diri walaupun kelibatnya berjaya mengucar-kacirkan benteng pasukan lawan.

“Apabila diturunkan dalam perlawanan akhir, keutamaan mencatat kemenangan buat pasukan adalah paling utama dan tidak kisah siapa menjaringkan gol kerana kami beraksi sebagai satu pasukan, namun bersyukur atas jaringan dihasilkan,” katanya yang dinobatkan penjaring terbanyak kejohanan dengan tiga gol.

Kecemerlangan dua pemain ini sememangnya tidak dapat disangkal apabila menyebabkan Myanmar lebih mempamerkan aksi bertahan pada babak pertama.

Kepantasan Rozaimi membuat tindakan susulan selepas rembatan deras Wan Zack Haikal gagal ditangkap kemas penjaga gol Myanmar, Pyaye Phyo Aung meletakkan pasukan dihadapan sebelum Junior Eldstar memastikan kemenangan mutlak. – SH