Regu negara balas libasan Korea

MARUAH yang dicalar Korea Selatan pada aksi final Siri Super 1 Istaf di New Delhi, India awal bulan ini kembali ditebus skuad sepak takraw negara.

Kali ini, gandingan Sahidan Md. Ali, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam ternyata garang apabila mengatasi Korea Selatan dengan kemenangan bergaya 3-0 (15-10, 17-16 dan 15-13) dalam final acara regu Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thai Ke-28 di Plaza Sentral, Udonthani, Thailand malam tadi.

Kemenangan itu juga mengubati kekecewaan negara yang terlebih dulu diaibkan dengan tiga kekalahan berturut-turut di tangan Korea Selatan sebelum ini termasuk dalam acara beregu pada Isnin lalu.

Ketua Seranta Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Yusuff Ali berkata, kemenangan itu pastinya menyuntik moral skuad negara menjelang Siri Super Istaf seterusnya di Likas, Sabah pada penghujung Oktober depan.

“Semangat juang yang dipamerkan regu negara ketika berdepan Korea Selatan kali ini sememangnya lain macam… ia kemenangan yang cukup bermakna tambahan pula kita menang besar 3-0.

“Saya gembira dengan kejayaan pemain yang kembali menebus maruah negara selepas ditumpaskan Korea Selatan sebelum ini.

“Biarpun diasak hebat sepanjang perlawanan terutamanya pada set kedua, pemain negara tidak mudah patah semangat sebelum memenangi perlawanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! dari Udonthani, Thailand malam tadi.

Awal September lalu, regu negara yang diterajui Norshahruddin, Farhan dan Ahmad Aizat Azmi gagal menyaingi kehebatan regu Korea Selatan di bumi India apabila tersungkur dengan kekalahan memalukan 0-3.

Yusuff berkata, biarpun Korea Selatan cuba bermain psikologi apabila ketinggalan dalam aksi malam tadi, beliau memuji ketenangan pemain-pemain negara menyerap tekanan pihak lawan.

“Namun, saya harap pemain negara tidak mudah selesa dengan kemenangan ini biarpun sedikit sebanyak kemenangan ini dilihat dapat menutup mulut pengkritik yang lantang menghentam skuad negara sebelum ini,” jelasnya.

Malaysia yang muncul naib juara Kumpulan A Divisyen Perdana berjaya melangkah ke pentas final selepas mengatasi juara Kumpulan B, Indonesia 3-0 di peringkat separuh akhir.

Korea Selatan pula mengatasi pasukan bukan pilihan, Vietnam 3-0 dalam satu lagi separuh akhir kelmarin.

Kali terakhir Malaysia menjuarai Piala Raja Thai yang tidak disertai musuh tradisi, Thailand pada 2010 di Chiang Mai dengan menewaskan Indonesia 2-0 (sistem kiraan lama 21 mata).

Dalam pada itu, Yusuff juga menyambut baik keputusan Istaf (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) yang kembali menggunakan sistem kiraan lama 21 mata selepas ini.

“Saya percaya perubahan kiraan mata itu mampu memberikan kelebihan kepada pasukan negara sekali gus mengelak dikejutkan mana-mana pasukan,” katanya.

Sebelum ini, kiraan 15 mata mula digunakan Istaf sejak pindaan 2011 di Bangkok, Thailand.

Dengan keputusan itu, kiraan 21 mata akan kembali digunakan bermula Kejohanan Asia di Seoul, Korea Selatan dari 11 hingga 17 November depan. – Kosmo