Ramdan juara Supersports 600cc

Kuala Lumpur: Mohd Ramdan Mohd Rosli mengharumkan nama negara apabila bergelar juara keseluruhan Supersports 600cc pada musim sulungnya beraksi dalam Kejuaraan Superbike Zhuhai (ZIC Superbike Series) di Zhuhai, China, semalam.

Ramdan adalah pelumba Malaysia pertama meraih takhta itu selepas mempamerkan aksi cemelang mencatat kemenangan berganda pada dua perlumbaan final yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai.

Anak kelahiran Klang, Selangor itu menamatkan Perlumbaan 1 dengan catatan masa keseluruhan 16 minit 56.285 saat dan Perlumbaan 2 dengan 17’00.241s, sekaligus meletakkan titik noktah di atas carta keseluruhan dengan 145 mata.

“Saya tidak dapat menggambarkan kegembiraan saya. Kami menyertai siri ini untuk menimba pengalaman beraksi dengan jentera 600cc bagi meningkatkan lagi prestasi dalam Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS. Tidak sangka pula, kami bergelar juara keseluruhan,” jelas pelumba pasukan Team PETRONAS AHM Malaysia itu.

Dalam pada itu, Ramdan berharap kejayaan itu membantunya mempamerkan aksi lebih mantap pada separuh musim kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Stadium Kluang, Johor hujung minggu ini.

Ketika ini pelumba berusia 17 tahun itu mendahului carta pungutan mata kategori perdana CP130 dengan 75 mata hasil kejayaan menamatkan empat dari lima pusingan awal di podium.

Pencabar terdekat terdiri Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Pachie) dan Ahmad Fuad Baharudin (Faito Yamaha Motobert) berkongsi 73 mata di tangga kedua dan ketiga.

“Kejayaan di Zhuhai secara tidak langsung membakar semangat saya dan pasukan untuk meneruskan rentak cemerlang dalam Cub Prix.

“Kami kini mendahului carta keseluruhan CP130 tetapi jurang mata dengan pencabar terdekat amat tipis sekali. Jadi saya berharap untuk menjauhkan diri dari mereka dengan mencatat kemenangan sulung di Kluang hujung minggu ini,” katanya. HM