Piya tiada dalam perancangan saya – Rajagobal

Kelana Jaya: Selepas mencetuskan kontroversi apabila gagal melapor diri ke kem latihan skuad kebangsaan 11 Julai lalu, nama Badhri Radzi langsung tidak tersenarai dalam senarai 24 pelatih skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa menentang China di Tianjin, Selasa depan.

Malah, jurulatih skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal tidak menyenaraikan kapten Kelantan yang lebih mesra dengan panggilan Piya itu dalam kalangan 14 pemain dalam senarai menunggu.

Ketika diajukan persoalan mengapa Piya tidak dipanggil dan berada dalam senarai menunggu, Rajagobal mengakui betapa Badhri memang tiada dalam perancangannya untuk perlawanan persahabatan itu.

Saya sudah katakan sebelum ini, saya telah beri peluang kepada semua pemain. Saya fikir pada masa ini saya lihat ada pemain lain yang saya fikir sudah bersama kita ke Jepun dan bertemu Barcelona bulan lalu.

“Saya tak katakan Piya tak bagus, dia pemain tengah yang bagus. Cuma untuk masa ini saya fikir belum lagi masanya untuk memanggilnya untuk perlawanan bertemu China ini.

Tengoklah nanti, walaupun dia pernah bersama pasukan tetapi masih ada sebulan lagi sebelum perlawanan penting kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Bahrain,” kata Rajagobal ketika sesi latihan di wisma FAM semalam. – BH