Piya hormati tindakan Rajagobal

KAPTEN The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi sedikit kecewa namun menghormati keputusan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal yang tidak menyenaraikannya bersama skuad kebangsaan menghadapi perlawanan persahabatan menentang China di Tianjin, 10 September ini.

Jelasnya, senarai nama yang dipanggil berlatih bersama skuad kebangsaan sudah dikeluarkan dan terbuka menerimanya.

“Bagi saya, itu adalah pilihan terbaik yang dilakukan beliau untuk menggalas tugas mewakili negara. Jurulatih sudah mengeluarkan senarai pemain dipanggil menjalani latihan.

“Saya menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Siapa tahu mungkin beliau akan memanggil saya untuk menyarung jersi kebangsaan pada perlawanan lain selepas ini,” katanya.

Mohd Badhri atau dikenali Piya berkata, soal nama beliau tersisih tidak perlu dijadikan isu memandangkan pengendali skuad kebangsaan berusia 57 tahun itu mempunyai hak dan alasan berbuat demikian.

“Saya hormati keputusan jurulatih dan berharap isu ini tidak lagi diperbesarkan” jelasnya memandang positif disebalik keputusan yang diambil jurulatih kebangsaan itu.

Dua bulan lalu pemain tengah dan perancang Pahlawan Merah itu pernah dipanggil bersama Harimau Malaya menjalani latihan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Chelsea dan Barcelona namun Piya menolak disebabkan masalah kecederaan yang dialaminya ketika aksi terakhir Kelantan menentang Lions XII di Kota Bharu, 6 Julai lalu. – SH