Piala pasti milik Malaysia

Kuantan: “Malaysia mempunyai ramai pemain berkualiti dan beraksi di depan penyokong sendiri pasti memberi kelebihan buat mereka untuk menewaskan Myanmar pada perlawanan akhir esok (hari ini),” kata jurulatih Thailand Kairung Threejagsang.

Kairung berkata, berdasarkan persembahan dipamer skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee sebelum ini, agak sukar untuk Myanmar menafikan impian tuan rumah merangkul kejuaraan Pestabola Merdeka edisi ke-41 di Stadium Darul Makmur, malam ini.

“Perlawanan akhir antara Malaysia dan Myanmar pasti sengit. Bagi saya pemain jersi nombor 10 (Wan Zack Haikal Wan Noor) dan pemain nombor 21 (Muhammad Nazmi Faiz Mansor) antara pemain yang berbahaya,” kata Kairung yang giat melakukan persiapan terakhir menjelang pertembungan pasukannya dengan Singapura bagi penentuan tempat ke-3/4 petang ini.

“Myanmar juga mempunyai pemain yang bagus tapi Malaysia mempunyai pasukan seimbang. “Kami tumpas 0-3 kepada Malaysia walaupun mereka menurunkan beberapa pemain simpanan. Ini menunjukkan mereka mempunyai ramai pemain yang boleh beraksi dalam kesebelasan utama,” kata Kairung yang menjadi penolong jurulatih skuad bawah 23 tahun Thailand kendalian Kiatisuk Senamung.

Bagaimanapun keadaan padang yang kering serta sokongan padu penyokong tuan rumah bakal menjadi elemen penting kepada kejayaan Malaysia.

AKSI perlawanan akhir antara Myanmar dengan Harimau Muda di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini pasti sengit.

Demikian pengakuan pengurus pasukan Myanmar, Tin Myint Aung semalam.

Menurutnya, kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri dan sudah pasti aksi final itu bakal berada dalam kelas tersendiri.

Skuad Myanmar sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi final tersebut selain bertekad melunaskan dendam selepas tewas 1-2 kepada Harimau Muda pada perlawanan peringkat kumpulan, Isnin lalu.

Katanya, mereka juga akan membariskan skuad terbaik berikutan beberapa pemain yang tercedera serta digantung perlawanan sebelum ini termasuk kapten, Kyaw Zayar Win sudah pulih sepenuhnya.

Selain itu, pemain sayap, Kyi Lin yang digantung perlawanan sebelum ini juga akan kembali memperkuatkan pasukan yang kali terakhir menjulang trofi Pestabola Merdeka pada 2006.

“Saya menjangkakan perlawanan akhir malam esok (malam ini) bakal menjadi satu pertarungan hebat dan menghiburkan.

“Bagaimanapun, kami tetap menghormati Malaysia yang berjaya mengutip mata maksimum pada saingan peringkat kumpulan sebelum ini.

“Saya juga menjangkakan para penyokong Malaysia akan membanjiri stadium malam esok (malam ini) bagi menyaksikan pasukan kesayangan mereka bertarung di final.

“Saya tidak risau dengan situasi tersebut kerana para pemain saya memiliki mental yang kuat dan sudah biasa bermain dalam keadaan tertekan,” kata Myint Aung dalam satu sidang akhbar di Kuantan semalam.

Dalam perkembangan lain, Myint Aung menegaskan beliau tidak mahu mengulas tentang harapan mereka terhadap pengadil perlawanan malam ini kerana baginya sebagai pengadil profesional mereka (pengadil) pasti tahu apa yang mereka lakukan.

Pada perlawanan peringkat kumpulan ketika bertemu Malaysia Isnin lepas, para pemain Myanmar serta jurulatihnya, Park Sung Hwa banyak membantah keputusan pengadil dari Singapura, Abd. Malik Abd. Bashir yang didakwa sebagai berat sebelah.

“Secara peribadi, saya akan menerima serta menghormati setiap keputusan pengadil. Tidak guna kita mempertikaikan keputusan pengadil kerana mereka ternyata lebih arif dalam mengawal perlawanan.

“Bagaimanapun, kita sama-sama berharap pengadil di final nanti mampu mengawal perlawanan dengan sempurna dan adil,” katanya.

Dalam pada itu, Myint Aung juga percaya, jurulatih Myanmar, Sung Hwa sudah ada perancangan sendiri untuk menjinakkan Malaysia dalam aksi final itu nanti.

Kata Myint Aung, Sung Hwa yang juga merupakan bekas bintang pertahanan pasukan kebangsaan Korea Selatan era 1970-an itu mempunyai percaturan taktikal terbaik serta beliau tahu bagaimana untuk menghadapi situasi getir beraksi di perlawanan akhir di gelanggang lawan.

Sementara itu, perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat antara Thailand dengan Singapura akan berlangsung pada 5.30 petang ini di stadium yang sama.