Piala Menpora: Harimau Muda ikat Persib Bandung

Pasukan Malaysia B23 memulakan saingan Piala Menpora dengan mengutip satu mata selepas seri 2-2 dengan Persib Bandung di Stadium Si Jalak Harupat.

Pemain Harimau Muda B, Ridzuan Abdunloh menyamakakan kedudukan 2-2 pada minit ke-62 perlawanan untuk memberikan satu mata kepada kedua-dua pasukan.

Malaysia walaubagaimanapun mendahului perlawanan pada minit ke-10 hasil jaringan D.Saarvindran.

Pasukan tuan rumah kemudian berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 apabila Kenji Adhachihara melakukan percubaan menguji Izham Tarmizi dan kemudian pemain pertahanan Harimau Muda menyumbat gol sendiri ketika cuba menghalang.

Pada babak kedua perlawanan, Persib telah mendapat sepakan penalti selepas bola dikatakan terkena tangan Saarvindran di dalam kotak penalti. M.Ridwan berjaya menyempurnakan penalti itu pada minit ke-56.

Babak Pertama

Harimau Muda bermula pantas dan terus mengasak ke kubu pertahanan Persib dengan percubaan pertama dilakukan oleh Saarvindran dari luar kotak penalti namun rembatannya tersasar ke kiri gawang gol.

Dua minit kemudian kapten, Irfan Fazail dari tengah membuat hantaran kepada Syahrul Azwari di sayap kanan yang kemudian terus melalukan hantaran kepada Saarvindran yang dengan mudah menjaringkan gol pertama perlawanan.

Harimau Muda kemudian mendapat sepakan sudut pertama namun tidak berhasil.

Pada minit ke-15, pemain berusia 17 tahun Ariff Farhan melakukan percubaan dari kiri tetapi berjaya ditangkap penjaga gol Persib.

Pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan apabila percubaan Kenji disumbat masuk ke gawang sendiri oleh Shahrul Saad.

Masuk minit ke-39, Persib mendapat peluang terbaik apabila Mbida Messi melakukan rembatan kencang namun telah ditangkap kemas oleh Izham.

Seminit selepas itu, Syahrul mencipta peluang untuk Malaysia tetapi juga tidak berhasil.
Dua minit sebelum waktu rehat, Persib sekali lagi hampir menjaringkan gol melalui sepakan percuma namun terkena palang.

Babak Kedua

Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee melakukan perubahan pemain pertama apabila Kenny Pallraj masuk menggantikan Ariff Farhan.

Mbida terus mencabar Izham di gawang gol Malaysia dengan melakukan percubaan tetapi berjaya dihalang.
Minit ke-56, ketika Persib sedang mengasak, pengadil mendapati bahawa bola telah terkena lengan Saarvindran di dalam kotak penalti dan sepakan penalti lantas diberikan kepada Persib.

M.Ridwan berjaya menyempurnakan penalti itu dan meletakkan Persib 2-1 di hadapan.

Empat minit kemudian, Ridzuan masuk menggantikan Ferris Danial yang kemudian berjaya meyamakan kedudukan 2-2 selepas berjaya menyempurnakan hantran Syahrul dari kanan dengan baik.

Pada saat akhir perlawanan, Malaysia mempunyai peluang terbaik untuk menambah jaringan melalui Saarvindran namun telah dikatakan ofsaid oleh pengadil garisan. – foxsports

Highlights