Piala Malaysia : Pasukan pilihan tepati ramalan

SARAWAK mengesahkan slot suku akhir selepas membelasah Perak 6-1 pada aksi terakhir Kumpulan D kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Negeri Kuching semalam.

Penyerang skuad Bujang Senang, Muamer Salibasic muncul wira skuad kendalian Robert Alberts apabila mencipta hatrik pada minit ke-44, 61 dan 73.

Tiga gol lain Sarawak hadir menerusi satu jaringan sendiri pemain pertahanan Perak, Mohd. Nasir Basharuddin pada minit kelima, Bobby Gonzales (ketujuh) dan Zamri Morshidi pada minit ke-58.

Gol sagu hati skuad Seladang dijaringkan oleh Yong Kuong Yong menerusi tandukan pada minit ke-44.

Turut mengikut jejak langkah Sarawak adalah Lions XII yang berjaya menjinakkan Kedah 3-1 di Stadium Darul Aman.

Pasukan pelawat terlebih dahulu berada selesa di depan dengan meledakkan dua gol menerusi jaringan Hariss Harun dan Baihakki Khaizan pada minit ke-24 dan 38.

Pemain import skuad Kenari, Alen Guc mengurang defisit jaringan apabila menjaringkan gol pertama untuk Kedah, namun Hafiz Sujad memastikan tiga mata penuh menjadi wakil Singapura itu dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-65.

Dalam saingan Kumpulan C, Kelantan selaku juara bertahan menepati ramalan untuk melangkah ke peringkat suku akhir apabila tidak berdepan masalah menewaskan Pahang 4-0 di Stadium Sultan Muhammad IV.

Penyerang import sensasi skuad The Red Warriors, Dickson Nwakaeme tampil cemerlang apabila membantu pasukan gergasi Pantai Timur itu menerusi hatriknya pada minit ke-65, 76 dan 82 dan satu jaringan peribadi milik Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-25.

Meskipun Pahang tewas, skuad kendalian Dollah Salleh tetap mara ke peringkat suku akhir berdasarkan perbezaan jaringan dengan pencabar terdekat, Negeri Sembilan.

Dalam kumpulan sama, Negeri Sembilan gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mara ke peringkat seterus apabila sekadar seri 2-2 dengan Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Penyerang import skuad Penyu, Effa Owona terlebih dahulu membuka jaringan awal pada minit ke-17, namun berselang dua minit kemudian, Fabio Leandro menyamakan kedudukan buat skuad Hoben Jang Hoben.

Nazrin Nawi memastikan Negeri Sembilan berada di depan pada minit ke-70 dan ketika perlawanan dilihat berakhir keputusan 2-1, Ashaari Shamsuddin meranapkan impian pasukan tuan rumah apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-89, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan itu tidak layak ke suku akhir.

Dalam saingan Kumpulan A, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sime Darby masing-masing berjaya melangkah ke pusingan suku akhir meskipun sekadar terikat 1-1 pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Tonggak pertahanan skuad The Gladiators, Amiridzwan Taj Tajuddin terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-3, namun Fahrul Razi Kamaruddin menyamakan kedudukan buat Sime Darby, sekali gus menyaksikan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Dalam kumpulan sama, Selangor berjaya merakamkan kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia musim ini selepas berjaya menewaskan Johor yang beraksi 10 pemain, 2-1 di Stadium Shah Alam.

Pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan skuad Gergasi Merah pada minit ke-47.

Begitupun, Johor menerima tamparan apabila menyaksikan See Kok Luen dilayangkan kad merah selepas terjahan keras kepada Solihin Kasian.

Skuad kendalian sementara P. Maniam nyata mengambil kesempatan itu apabila S. Kunanlan menyamakan kedudukan pada minit ke-69 sebelum penyerang veteran Selangor, Mohd. Amri Yahyah melengkapkan kemenangan pertama menerusi jaringan pada minit ke-75.

Dalam saingan Kumpulan B, Selangor PKNS bersama Johor Darul Takzim (Johor DT) menempah slot suku akhir meskipun menyaksikan wakil Selangor itu berjaya menewaskan Harimau Selatan 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Dua gol PKNS tersebut hadir menerusi Reeshafiq Alwi dan Roman Chmelo pada minit ke-17 dan 64 dan Johor DT tetap berjaya melangkah ke peringkat seterusnya berdasarkan perbezaan jaringan dengan pencabar terdekat, T-Team menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pada pusingan suku akhir, Kelantan bakal menentang Johor DT, PKNS menentang Pahang, Sarawak menentang Sime Darby dan ATM bakal berdepan menentang Lions XII.

JOHOR Darul Takzim (Johor DT) gagal mengekalkan rentak kemenangan apabila tewas 0-2 kepada pendahulu Kumpulan B, Selangor PKNS pada aksi terakhir kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos malam tadi.

Bagaimana pun, kekalahan itu tidak menjejaskan misi Johor DT untuk melangkah ke peringkat suku akhir selepas muncul naib juara kumpulan setelah mengumpul sembilan mata.

Pada aksi tersebut, Johor DT lebih banyak menguasai saingan pada awal permainan dengan melancarkan serangan bertali-arus ke kubu PKNS.

Pada minit ketujuh, gandingan Safiq Rahim dan Mohd. Farid Ramli hampir menghukum PKNS.

Bagaimanapun, rembatan leret Safiq sedikit tersasar.

Dua minit selepas itu, tuan rumah melancarkan serangan apabila Mohd. Farid Ramli sekali lagi menghantar bola kepada Norshahrul idlan Talaha, namun tandukannya ditepis keluar penjaga gol PKNS, Mohd.Remezey Che Ros.

Peluang keemasan skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu kembali muncul pada minit ke-12 menerusi sepakan percuma Mohd. Aidil Zafuan Razak, namun tendangannya terus ke dakapan penjaga gol PKNS.

Gol pertama perlawanan berjaya diperoleh PKNS biarpun tuan rumah banyak menguasai permainan apabila Reeshafiq Alwi bijak menyempurnakan hantaran Roman Chmelo hasil gerakan berbahaya dari luar kotak penalti.

Memasuki minit-minit akhir separuh masa pertama, Johor DT memperoleh peluang terbaik apabila gandingan Nurul Azwan Roya, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Akram Mahinan hampir memecah kebuntuan, namun penjaga gol PKNS bijak menafikannya.

Bersambung babak kedua, Johor DT sekali lagi memberikan aksi garang dan pada minit ke-50, rembatan kencang Mohd.Ezrie Shafizie dari luar kawasan penalti sekadar menggegar tiang gol PKNS.

Tidak gentar dengan serangan itu, PKNS turut mempamerkan aksi bahaya dan tendangan Mohd. Lot Abu Hassan ditepis keluar penjaga gol Johor DT, Mohd.Alhafiz Hamzah.

Asakan berterusan Johor DT hampir berjaya menyamakan kedudukan namun tendangan Safiq Rahim tersasar.

PKNS sekali lagi meranapkan DT apabila Roman Chmelo mudah menanduk masuk gol kedua pasukannya pada minit ke 64.

Aksi 20 minit terakhir menyaksikan kedua-dua pasukan banyak melakukan percubaan namun kesemuanya gagal disempurnakan dengan baik. – Kosmo

Highlights

Kedah 1 LionsXII 3


Sarawak 6 Perak 1


JDT 0 PKNS 2

Kelantan 4 Pahang 1