Piala Malaysia: Jaringan Nelson selamatkan Kedah

Ipoh: Impian Perak mengesahkan kemaraan awal ke suku akhir Piala Malaysia dari Kumpulan D tidak kesampaian apabila tumpas 0-1 kepada Kedah di Ipoh malam tadi.

Jaringan di minit akhir Martin Sam Nelson sebaliknya menghidupkan sisa peluang pasukan Hijau Kuning itu.

Usaha terakhir pelawat membuahkan hasil apabila Nelson memanfaatkan bola hantaran pendek Kyril Muhymeen untuk menghancurkan hati kira-kira 15,000 penyokong pasukan Kejor Yob kejor.

Dengan keputusan ini peluang Kedah kembali terbuka dan kini mereka perlu menang apabila turun membuat perhitungan dengan LionsXII di Alor Setar, Sabtu ini sambil berharap kejutan berlaku di gelanggang lain.

Manakala Perak walaupun turut berpeluang tetapi kini mempunyai tugas berat apabila bertandang ke Kuching pada perlawanan terakhir.

Begitupun pada perlawanan semalam, nasib nyata tidak menyebelahi tuan rumah apabila gagal menjaringkan gol meskipun mencipta banyak peluang.

Taktik Kedah merantai pergerakan Paolo Rangel nyata berkesan untuk melumpuhkan serangan Perak hingga memaksa Mohd Nasir Basharuddin dan Mohd Noor Hazrul membuat rembatan dari luar kotak penalti.

Selepas lemas dalam asakan anak buah Mohd Azraai Khor Abdullah pada babak pertama, Kedah bangkit pada babak kedua dengan mengubah corak permainan.

Strategi mereka berkesan hingga berjaya mengasak kubu tuan rumah dan hasil larian pantas Kyril, Kedah hampir meruntuhkan gawang Perak tapi Mohd Farizal Marlias berjaya menggagalkan cubaan pemain dalam situasi satu sama satu.

Begitupun tidak ada apa yang dapat dilakukan penjaga gawang kebangsaan itu menyelamatkan bola Nelson yang hanya meniti masuk melepasi jangkauannya.

Highlights