Piala Dunia 2022: Qatar pilihan yang ‘silap’

LONDON – Presiden Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA), Sepp Blatter buat kali pertama mengakui, memberikan hak tuan rumah Piala Dunia 2022 kepada Qatar adalah satu kesilapan.

Sejak negara Timur Tengah itu diumum sebagai hos kejohanan berprestij tersebut tahun lalu, ia lebih banyak menimbulkan masalah terutama dengan cadangan mereka untuk melangsungkan pertandingan pada pertengahan tahun, iaitu tempoh yang bakal menyaksikan cuaca mencecah sehingga 50 darjah celsius.

Seandainya tarikh kejohanan dianjak ke hujung tahun iaitu pada musim sejuk di Eropah, ia akan mengundang masalah kepada liga domestik di hampir semua negara utama bola sepak dunia seperti Sepanyol, England, Itali, Jerman dan Perancis.

“Ia mungkin satu kesilapan yang kami lakukan ketika itu (memilih Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia),” ujar Blatter kepada portal bola sepak insideworldfootball.com, semalam.

Blatter sebelum ini pernah berkata, adalah tidak rasional untuk mengadakan sebarang kejohanan bola sepak di Qatar dari Jun hingga Julai.

“Begitupun pemilihan mereka ketika itu juga mengambil kira aspek realiti politik dan geopolitik.

“Piala Dunia adalah kejohanan terbesar FIFA, ia merupakan acara global. Siapalah kami, orang Eropah mahu memastikan pertandingan itu sentiasa diadakan di benua kami dan memenuhi permintaan 800 juta penduduk.

“Sekarang adalah masanya untuk Eropah mula memahami bahawa kami tidak lagi menguasai dunia, malah sebahagian daripada kuasa besar yang pernah menguasai empayar Eropah sudah tidak mampu lagi mempengaruhi negara lain.

“Kita kena terima hakikat bahawa bola sepak sudah keluar daripada sekadar didominasi oleh Eropah atau Amerika Selatan.

“Ia adalah sukan yang mempunyai berbilion peminat, yang mengikuti perkembangannya di mana-mana saja di dunia,” kata Blatter.

Tokoh kelahiran Switzerland itu menambah, beliau berharap jawatankuasa eksekutif FIFA akan menyokong cadangan untuk menukar jadual kejohanan kepada musim sejuk.

Jika cadangan tersebut dipersetujui, badan dunia itu harus menyemak semula jadual pertandingan di seluruh dunia agar tidak timbul masalah. – Reuters